SEIRING perubahan iklim yang dilaporkan di seluruh dunia, peranan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga semakin mencabar dalam mendepani kesan situasi itu, khususnya dari segi memastikan ketepatan ramalan cuaca yang dikeluarkannya.

Ini kerana data perkhidmatan cuaca, iklim yang dibekalkan agensi itu digunakan oleh pelbagai agensi lain bagi menyusun kesiapsiagaan terutama dalam aspek mitigasi risiko bencana.

Beberapa insiden melibatkan perubahan iklim yang berlaku di negara ini sejak beberapa tahun lepas termasuk tragedi kepala air di Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu, menimbulkan persoalan sama ada sistem dan teknologi yang dibangunkan MetMalaysia mampu memberikan ketepatan terbaik bagi penyediaan amaran awal.

Kekhuatiran itu bertambah apabila laporan penilaian iklim yang dikeluarkan oleh Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menjangkakan kesan perubahan iklim yang lebih drastik dengan bencana alam yang lebih dahsyat akan berlaku lebih kerap.

Menurut pakar meteorologi Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, senario itu memerlukan MetMalaysia memperkemas pembangunan dan penyelidikannya untuk berhadapan dengan kemungkinan cuaca lebih ekstrem.

"Terutama ketepatan ramalan pada tahap lebih tinggi dari segi masa dan lokaliti kejadian cuaca ekstrem supaya dapat memberi amaran awal dan bukan berupa kajian selepas kejadian," katanya kepada Bernama.

Ini menurut beliau, termasuk membangunkan sistem amaran awal bencana yang berupaya meningkatkan pemantauan, analisis dan penyebaran maklumat kepada pihak berkepentingan.




BERSEDIAKAH METMALAYSIA?

Di negara ini, antara kesan perubahan iklim paling ketara ialah peningkatan suhu yang semakin dirasai sejak dua dekad lepas dan ini diakui oleh Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah.

Menurut beliau, berdasarkan rekod jabatan itu, didapati 16 daripada 20 tahun terpanas di Malaysia berlaku selepas 2000.

Corak purata suhu tahunan dalam tempoh 1981 hingga 2020 secara amnya menunjukkan trend peningkatan pada kadar 0.02 darjah Celsius setahun (0.2 darjah Celsius bagi setiap 10 tahun).

Berdasarkan pencerapan dan pemantauan, suhu purata tahunan tertinggi dicatatkan di Malaysia ialah pada 2016 yang merekodkan 27.84 darjah Celsius, iaitu 0.87 darjah Celsius melebihi suhu normal (suhu normal purata bagi tempoh 1981-2010 ialah 26.97 darjah Celsius), diikuti 1998 (27.70 darjah Celsius), 2019 (27.63 darjah Celsius) dan 2020 (27.52 darjah Celsius).

"Malaysia berpotensi berhadapan dengan fenomena cuaca baharu termasuk cuaca ekstrem sekiranya pemanasan global dan pencemaran alam sekitar tidak ditangani dengan baik di negara ini," katanya kepada Bernama.

Justeru, bagi memperkukuh sistem amaran bencana negara, 60 stesen manual dinaik taraf ke stesen automatik bagi memantapkan lagi rangkaian stesen pencerapan cuaca sedia ada selain merancang dan menilai keperluan penambahan stesen-stesen baharu dari semasa ke semasa, katanya.

"Dapatan data ini akan dihantar secara masa nyata ke ibu pejabat di Petaling Jaya untuk diproses dan dianalisis bagi menggambarkan cuaca sebenar di sesuatu lokasi, seterusnya menjadi input ramalan dan amaran yang dikeluarkan," jelas beliau.

Pada masa ini MetMalaysia mempunyai 247 buah stesen cuaca automatik dan 183 buah stesen pencerapan manual di seluruh negara untuk mencerap data meteorologi seperti hujan, suhu, arah dan kelajuan angin, kadar kelembapan dan tekanan udara.




RIBUT PETIR LEBIH KOMPREHENSIF

Tugas pemantauan juga dilakukan menerusi stesen udara atas yang berperanan mencerap profil atmosfera seperti halaju dan arah angin, tekanan, suhu serta kelembapan di setiap paras udara hingga mencecah ketinggian sekitar 30 kilometer menggunakan radiosond.

Alat ini dilepaskan ke udara bersama-sama belon meteorologi yang diisi dengan gas hidrogen.

Pencerapan udara atas adalah antara proses penting dalam pemantauan dan penyediaan ramalan cuaca seperti ribut petir agar kejadian dapat dijangka dengan lebih awal, sekali gus membantu dalam pengurusan bencana.

Setakat ini terdapat lapan stesen pencerapan udara atas iaitu di KLIA Sepang, Bayan Lepas, Kota Bharu, Kuantan, Kuching, Bintulu, Kota Kinabalu dan Tawau.

Bagi memberikan perkhidmatan lebih komprehensif berkaitan kejadian ribut petir dan hujan lebat, MetMalaysia juga mempunyai 11 unit stesen radar cuaca di seluruh negara yang berfungsi mengesan pembentukan awan hujan/ribut petir dan mengeluarkan amaran bersesuaian.

Bagaimanapun, Muhammad Helmi mengakui mereka berhadapan kekangan berikutan kejadian awan hujan/ribut petir yang kecil dan tempoh hayat yang singkat sukar dikesan kerana ada kalanya ia di luar capaian radar.

Bagi mengatasi kekangan itu, sebanyak lapan lagi stesen radar cuaca sedang dibangunkan dan dijangka siap pada 2022, iaitu di Kuala Gula (Perak), Rompin (Pahang), Marang (Terengganu), Kuala Krai (Kelantan), Temerloh (Pahang), Cameron Highlands (Pahang), Sibu (Sarawak) dan Tawau (Sabah).

MetMalaysia juga telah membangunkan Radar Integrated Nowcasting System (RaINS) yang boleh dijadikan panduan utama dalam memantau dan meramal fenomena hujan ekstrem dari segi trajektori dan intensiti semasa fenomena seperti ribut petir.

"Gabungan antara output (data) RaINS dengan pengalaman serta kepakaran pegawai meteorologi bertugas mampu memantau dan mengeluarkan amaran awal cuaca ekstrem seawal satu hingga tiga jam sebagai pelengkap kepada output model numerikal cuaca, komponen ramalan WRF (Weather Research and Forecasting) yang berupaya meramal keadaan cuaca ekstrem tujuh hari ke hadapan," katanya.




PEMANTAUAN GHG

Ditanya mengenai pemantauan pelepasan gas rumah hijau (GHG) pula, beliau berkata MetMalaysia sedang mengoperasikan 31 stesen memantau pemendapan berasid, enam stesen memantau keamatan sinar ultraungu (UV) di permukaan, empat stesen memantau kepekatan PM2.5 latar, dua stesen memantau ozon permukaan latar dan satu stesen memantau kepekatan aerosol latar.

"Rangkaian stesen pencerapan pemendapan berasid di Sabah dan Sarawak harus diperkasakan dengan penambahan enam stesen untuk menentukan impak terhadap hujan berasid disebabkan perubahan sosioekonomi, bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, tetapi juga di Kalimantan berikutan perancangan memindahkan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Timur Kalimantan.

"Selain itu, perluasan rangkaian peralatan pencerapan keamatan sinar UV permukaan di Sabah dan Sarawak turut dilaksanakan dengan penambahan empat stesen kepada rangkaian stesen sedia ada," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata jabatan sedang melaksanakan pemasangan Sistem Pemantauan GHG (karbon dioksida, metana dan karbon monoksida) Kebangsaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 yang melibatkan empat rangkaian stesen iaitu Langkawi, Cameron Highlands, Lembah Danum (Sabah) dan Sebangkoi (Sarawak).

Beliau berkata rangkaian pencerapan GHG dan aerosol global di Malaysia harus diperluaskan, antaranya bagi memantapkan maklum balas negara kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), mengenal pasti impak bahan pencemar dan GHG merentas sempadan terhadap kualiti udara Malaysia serta mengembangkan bidang penyelidikan berhubung GHG dan aerosol global di Malaysia.




TEPATKAH RAMALAN?

Bagaimanapun sejauh manakah ketepatan ramalan tersebut?

Apatah lagi Muhammad Helmi sendiri mengakui terdapat beberapa cabaran yang dihadapi MetMalaysia dalam meramal cuaca di kawasan tropika disebabkan pengaruh arus perolakan kesan pemanasan sinaran matahari di atmosfera mendominasi pembentukan awan negara ini.

"Pembentukan awan jenis perolakan yang menghasilkan hujan dan ribut petir yang dialami negara kita dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang kompleks. Faktor bentuk muka bumi yang kompleks iaitu tanah tinggi yang sempit dan dikelilingi lautan dan kesan pemanasan sinaran matahari yang tidak sekata menyukarkan asimilasi dalam model ramalan cuaca berangka.

"Perkara ini diakui oleh negara maju yang mempunyai teknologi ramalan cuaca berangka yang lebih canggih, di mana turut berhadapan dengan kesukaran meramalkan episod cuaca buruk semasa kejadian ribut petir," jelas beliau.

Selain itu, pembangunan modal insan dan kapasiti pegawai jabatan juga terhad disebabkan kurangnya kajian meteorologi di kawasan tropika yang dijalankan berbanding dengan negara-negara maju yang beriklim sederhana.

Sekalipun begitu, MetMalaysia masih mampu mencapai ketepatan melebihi 85 peratus bagi ramalan dan amaran cuaca awam, manakala ramalan untuk cuaca penerbangan pula melebihi 90 peratus ketepatan.

Agensi ini juga melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti dalam perkhidmatan meteorologi awam dan penerbangan seperti MS ISO 9001:2015 dan MS ISO/IEC 27001:2013 bagi memastikan produk-produk yang dikeluarkannya mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Bagi menjamin keselamatan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), jabatan itu melaksanakan MS ISO/IEC 27001:2013.

"Ketepatan tersebut amat penting khususnya bagi sektor penerbangan untuk memastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Sektor penerbangan memerlukan data-data berkaitan cuaca seperti arah dan kelajuan angin serta ramalan cuaca yang tepat bagi menjamin keselamatan pesawat yang melakukan penerbangan ke pelbagai destinasi.

"Ini membuktikan tahap ketepatan ramalan dan amaran cuaca di MetMalaysia adalah setanding dengan peratus ketepatan yang dicapai agensi meteorologi antarabangsa dan negara maju," katanya.

-- BERNAMA/Suntingan Noor Hayati Muda