Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa rakyat Malaysia tanpa mengira agama untuk berpegang kepada ajaran agama masing-masing untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.

Beliau berkata ini kerana usaha untuk menjadi negara yang hebat adalah berpandukan dalam ajaran setiap agama yang menggalakkan keamanan dan keharmonian.

"Ingat, berpegang kepada ajaran agama kamu kerana jawapannya ada di sana.

"Anda harus seorang yang berpegang teguh kepada agama tidak kira sama ada anda beragama Kristian, Islam atau Buddha," kata beliau pada majlis makan malam anjuran Pergerakan Kristian untuk Keamanan dan Keharmonian Malaysia (CPHM) di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan dan Tan Sri Joseph Kurup.

CPHM ialah sebuah pergerakan akar umbi yang dicetuskan oleh sekumpulan pemimpin Kristian untuk mewujudkan suasana saling menghormati, toleransi dan sikap menerima antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan latar belakang agama dengan memupuk keamanan dan keharmonian di negara ini.

Najib berkata, rakyat Malaysia perlu membina perhubungan untuk memahami satu sama lain dengan lebih baik selain mengamalkan semangat memberi dan menerima.

"Semua kaum harus belajar untuk mempercayai satu sama lain di samping memahami budaya lain untuk memupuk keharmonian. Pemahaman yang mendalam antara satu sama lain boleh mewujudkan persekitaran sosial dan keamanan yang lebih kukuh," katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang aman, rakyat Malaysia perlu berusaha untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian melalui tindakan, bukan dengan kata-kata.

"Kita harus bermula dengan mengenali satu sama lain dan mempunyai pemahaman yang mendalam antara satu sama lain selain bersikap merendah diri dan menerima semua perbezaan," katanya.

Najib berkata keamanan dan keharmonian bukanlah sesuatu yang wujud secara semula jadi dan spontan tetapi ia harus lahir dalam setiap sanubari.

"Saya mahu keharmonian sosial dan keamanan ini berterusan selama-lamanya kerana adalah penting kita membina apa yang kita ada hari ini bermula dengan pemahaman yang lebih baik antara satu sama lain," kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi CPHM Wong Kim Kong berkata keamanan sosial adalah satu daripada komponen penting untuk pembangunan negara.

"Kita harus mempunyai niat dan tanggungjawab untuk memupuk dan mewujudkan keamanan. Kewujudan bersama secara aman melalui kepelbagaian etnik, agama dan budaya akan ditentukan oleh sikap dan hati kita," kata beliau.

-- BERNAMA