Setiap hari Kong Chai Chen, 30 tahun akan berbasikal ke tempat kerja. Tepat pada pukul 6 pagi, dia akan mengayuh sejauh 7 kilometer dari rumahnya di Sentul ke pejabatnya di ibu kota.

Keputusannya untuk berbasikal ke tempat kerja dibuat setahun yang lalu setelah kenderaannya rosak, memaksanya mencari mod pengangkutan alternatif.

"Mula-mula saya menaiki bas tetapi bas kadang-kala waktunya tidak tepat dan mengambil masa lama untuk sampai tempat kerja. Jadi saya berfikir pada ketika itu, untuk berbasikal untuk tempat kerja.

"Daripada membawa kereta atau menaiki bas yang mengambil masa sejam untuk sampai ke pejabat. Dengan berbasikal, saya hanya mengambil masa 30 minit sahaja," kata Kong sambil menambah berbasikal dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida selain melindungi alam sekitar.




Bukan sahaja dapat memendekkan masa perjalanan dan mengelak kesesakan lalu lintas, Kong juga mendapati manfaat paling ketara daripada berbasikal adalah penjimatan kos.

Dalam tempoh setahun, dia telah berjaya menjimat sehingga RM6,000!

"Purata harga duit minyak saya perlu belanja sebulan adalah dalam lingkungan RM300. Tambah yuran tempat letak kereta dalam RM8 sehari, jadi sebulan sejumlah RM240. Jadi sebulan saya dapat menjimat RM540.

"Untuk setahun saya dapat jimat dalam RM5,000 hingga RM6,000," tambahnya.

Dengan wang yang dijimatkannya itu, katanya, dia dapat membeli sebuah lagi basikal lipat Brompton yang digunakannya untuk ke tempat kerja setiap hari.


basikal
Keputusan Kong untuk berbasikal ke tempat kerja dibuat setahun yang lalu setelah kenderaannya rosak, memaksanya mencari mod pengangkutan alternatif. - Foto Astro AWANI/Tan Sui Lin

Di Malaysia, cuaca panas sering menjadi alasan untuk tidak menggunakan mod pengangkutan beroda dua ini di jalanan.

Namun bagi Kong, isu panas dan berpeluh tidak timbul berikutan waktunya berbasikal ke tempat kerja adalah sekitar 6 hingga 8 pagi ketika cuaca masih nyaman.

"Waktu itu agak nyaman tidak rasa panas. Matahari belum rasa terik. Waktu itu paling selasa untuk berbasikal ke tempat kerja."

Alasan berpeluh tidak menghalangnya menggunakan basikal sebagai mod pengangkutan utama.

"Jika laluan jarak daripada rumah ke pejabat dekat sahaja, saya rasa apa salahnya berbasikal dan berpeluh sedikit? Hakikatnya kalau berjalan dari LRT ke pejabat, sesetengah orang juga peluh. Jadi berjalan atau berbasikal tiada bezanya cuma basikal boleh membawa anda lebih jauh lagi."

Selain itu, Kong juga menggunakan kesempatan berbasikal sebagai aktiviti senaman dan menurutnya, dia lebih segar apabila sampai ke pejabat setiap pagi.


basikal
Penunggang basikal seperti Kong masih berdepan isu seperti keselamatan dan kurang kemudahan di tempat kerja. - Astro AWANI/ Shahir Omar

"Ketika berbasikal ia dapat merangsang semua deria kita dari penglihatan, pendengaran dan sentuhan di mana kita akan menjadi lebih aktif dan berjaga-jaga dengan persekitaran kita. Apabila sampai ke tempat kerja, saya berasa lebih segar," katanya.

BACA: Laluan khas basikal pertama di ibu kota kini dibuka

BACA: Baru sehari dirasmikan, laluan khas basikal disalah guna

BACA: Salah guna laluan basikal bakal berdepan tindakan, kereta ditunda

FOTO: Pelancaran 'Discover Malaysia by Bicycle'

FOTO: Jom naik basikal!

Namun penunggang basikal sepertinya masih berdepan isu seperti keselamatan dan kurang kemudahan di tempat kerja.

"Cabaran sekarang orang mula berbasikal ke tempat kerja banyak orang beritahu kekurangan fasiliti untuk mandi di tempat kerja kerana lepas berbasikal mereka akan berpeluh termasuk saya dan keadaan jalan raya agak bahaya bagi sesetengah orang.

"Jika dua masalah dapat tangani dengan baik saya yakin lebih ramai akan berbasikal ke tempat kerja," katanya.

Namun bagi Kong, dia telah bersiap sedia. Setibanya ke pejabat, dia akan bertukar ke pakaian kerjanya dan sedia meneruskan hari yang penuh produktif!