KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa seperti Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) peringkat daerah, Jawatankuasa Kemajuan Kampung, Baitulmal dan masjid perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dan telus melihat dan membantu mereka yang di dalam kesusahan.

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, kerenah birokrasi dan 'syarat itu ini' yang diamalkan pihak berkuasa dalam menyalurkan bantuan perlu dihapuskan terhadap golongan yang terhimpit kesusahan dan memerlukan 'bantuan segera'.

"Kempen 'bendera putih ' pada hemat saya memberi mesej jelas realiti sebenar kesusahan dan kesempitan hidup rakyat di negara kita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Mesej tersebut juga mengingatkan pihak kerajaan agar lebih bertanggungjawab dan telus dalam melaksanakan sesuatu peraturan prosedur operasi standart (SOP) terutama yang kesannya menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan, pengangguran semakin meruncing dan banyak sektor ekonomi serta industri yang terpaksa gulung tikar selain gejala sosial yang makin merisaukan.

"Usaha seperti 'terpaksa' mengibarkan 'bendera putih' yang dilakukan beberapa pihak bagaimanapun mencetuskan tanggapan berbeza, pro dan kontra serta ada juga yang melihatnya daripada sudut budaya dan adat resam rakyat di negara ini," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Rabu.

BACA: Pakej PEMULIH dirancang rapi, menyeluruh - Pakar ekonomi

TONTON: 
#BenderaPutih: Siapa terawal? Siapa mulakan dan apa rasional di sebalik warna putih?

Kempen bendera putih sebelum ini mengajak orang ramai untuk mengibarkan bendera berwarna putih sekiranya memerlukan bantuan tular dalam pelbagai platform media sosial.

Kebanyakan medium Facebook, Instagram dan Twitter mendapati saranan mengibarkan bendera putih disyorkan kepada mereka yang menghadapi kesusahan dan memerlukan pertolongan terutamanya dalam berdepan cabaran COVID-19.

Dalam pada itu kata Syed Ali, dia juga dimaklumkan bahawa langkah mengibarkan 'bendera putih' di depan rumah seolah-olah sebagai satu isyarat 'ada kematian' yang selama ini menjadi amalan dalam budaya hidup masyarakat Melayu.

Tambahnya, amalan sedemikian masih lagi diamalkan terutama di kawasan luar bandar dan pendalaman.

"Namun dalam isu ini, saya juga amat bersimpati dan berasa sedih mendengar penderitaan dan kesusahan tersebut sehingga terpaksa mengibar 'bendera putih'.

"Tetapi sebagai orang Islam, kita dituntut agar berikthiar dan mencari jalan keluar daripada kemelut tersebut dengan sabar, tabah dan redha di atas setiap ujian Allah.

"Marilah kita berdoa dan memohon kepada Allah supaya segala keperitan dan penderitaan yang melanda ini akan segera lenyap bersama wabak COVID-19.
Wallahhualam," ujarnya.

Pakar ekonomi, Madeline Berma sebelum ini berkata, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat dirancang rapi dan menyeluruh bagi memastikan tiada pihak yang tersisih dalam mendepani krisis COVID-19.

Jelasnya, perkara itu dapat dilihat apabila manfaat seperti bantuan moratorium bukan sahaja dinikmati golongan B40, malah semua lapisan masyarakat di negara ini.

Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 menerusi Pakej PEMULIH kepada semua Ahli Parlimen untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan.

BACA: PEMULIH: Golongan miskin tegar, B40, M40 dapat Bantuan Khas COVID-19 bermula Ogos - PM

Jelas beliau, ia bagi memberi lebih banyak bantuan dihulurkan kepada golongan terjejas menerusi wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Turut diumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.


Pengumuman Khas Pakej PEMULIH oleh Perdana Menteri | 28 Jun 2021