KUALA LUMPUR: Seramai 131 Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang terkesan akibat banjir besar yang melanda kawasan sekitar Yan, Kedah, menerima bantuan berupa bekalan makanan keperluan seharian.

Ketua Pegawai Operasi AIM Shamir Aziz berkata, ia tanda keprihatinan dan usaha mengurangkan beban Sahabat AIM yang sedia terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Kita menyerahkan bantuan makanan seperti beras, gula, tepung, minyak masak, susu, bihun dan lain-lain.

"Kita turut melawat keadaan rumah Sahabat yang kebanyakannya mengalami kerosakan teruk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Shamir,  turut mengunjungi Sahabat ialah Ahli Lembaga AIM Datuk Mohd Farid Mohamad Ali. 

BACA: PM tinjau lokasi kejadian kepala air di Titi Hayun

BACA: 
Bencana Gunung Jerai: Kerajaan Pusat salur bantuan segera RM75 juta

Dalam pada itu, kata Shamir, sejumlah 131 kediaman Sahabat terkesan teruk apabila arus deras membawa sekali lumpur tebal yang merosakkan harta benda.

"Selain bantuan, tugas-tugas pembersihan kediaman juga sedang giat dilakukan puluhan sukarelawan yang digerakkan ke kawasan berkenaan dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Sahabat yang terkesan membabitkan tujuh blok, iaitu Blok Tanjung Dawai, Merbok, Jerai, Bedong, Semeling, Sungai Limau dan Amanjaya.

"Sahabat AIM bagi daerah Yan berjumlah 3,162 orang, kebanyakannya menjalankan perniagaan kecil dengan menjual makanan, berniaga kedai runcit, petani dan ada juga nelayan," ujarnya.

Fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai umpama 'tsunami' kecil susulan keadaannya yang berombak kuat sehingga mengakibatkan pokok serta jambatan runtuh sekelip mata.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Yan Dep Supt Shahnaz Akhtar Haji berkata, sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyampaikan bantuan dan membantu kerja pembersihan di kawasan terjejas perlu mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) terlebih dahulu.

Jelasnya, ia bagi membolehkan pihaknya menyelaras khidmat sukarelawan terbabit di kawasan yang memerlukan bantuan, sekali gus mengelak berlaku kesesakan di sesuatu kawasan.