CUACA buruk yang melanda negara sejak akhir-akhir ini memberi petanda jelas tentang kedatangan ancaman banjir.

Banyak kejadian tentang kawasan yang terjejas akibat dinaiki air dalam gelombang banjir kali ini, bermula di negeri Johor dan seterusnya di Pahang, Selangor dan Terengganu.

Dalam pelbagai usaha yang dilakukan penduduk tempatan dan pihak berkuasa untuk menyelamatkan kumpulan yang terjejas, masih juga terdapat berita mendukacitakan iaitu yang melibatkan kehilangan nyawa.

Berikut adalah senarai mangsa yang terkorban dalam bencana banjir tahun ini:

2 JANUARI 2021: Johor

Seorang wanita Halijah Majid, 59 tahun, dari Kampung Contoh, Kluang, Johor menjadi korban pertama banjir di Johor. Mangsa telah terjatuh ke dalam longkang sedalam tujuh kaki yang dipenuhi air dan lemas.

3 JANUARI 2021: Pahang

Seorang kakitangan Pejabat Hutan Jerantut menjadi korban pertama banjir di Pahang selepas ditemui lemas dibawa arus deras di Kampung Gintong.

Jasad mangsa, Zulkarnain Hitam, 58 tahun, yang hanyut ketika berjalan melintasi kawasan banjir berhampiran sungai itu ditemui selepas kejadian, sementara anaknya, Ukai Iskandar Zulkarnain, 23 tahun, masih hilang selepas dibawa arus deras Sungai Puas.

4 JANUARI 2021: Johor

Seorang pelajar tahun pertama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ditemui mati lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras sebuah sungai melimpah di Kampung Nyior, Kluang, pada Isnin.

Dalam kejadian pada pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa, Ikmal Hakimi Mahasan, 20 tahun, ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

4 JANUARI 2021: Johor

Mangsa yang hilang dihanyutkan air deras di Batu 18 Jalan Kluang-Kahang, pada petang 2 Januari ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR). Jasad Md. Rajihan Mohd. Junaidi, 28 tahun, dijumpai pada pukul 5.15 petang.

5 JANUARI 2021: Johor

Seorang mangsa yang dipercayai hanyut dibawa arus selepas bot yang dinaikinya terbalik dipukul arus di Kampung Bertang, Sungai Koyan, Kuala Lipis ditemukan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azri Akmar Ayob berkata, mangsa, Rozi Omar, 52, ditemukan pada pukul 9.45 pagi, kira-kira 1 meter dari tempat kejadian.

5 JANUARI 2021: Kelantan

Polis akan menjalankan siasatan berhubung punca kematian seorang remaja lelaki yang dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengharung banjir di Rantau Panjang, Kelantan, pada malam Selasa.

Ia selepas satu video dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu yang dikatakan berlaku kira-kira jam 8 malam tadi tersebar di media sosial.

6 JANUARI 2021: Pahang

Seorang kakitangan bank maut selepas terkena renjatan elektrik di garaj kereta hadapan rumahnya di Kampung Paya Kechik, Temerloh, Pahang pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Isyraf Muhammad, 41, disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Lalang.

6 JANUARI 2021: Pahang

Mayat pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ukai Iskandar Zulkarnain, 23, yang hilang dibawa arus di Kampung Gintong, Jerantut di sini pada Isnin, ditemukan pada pukul 9 pagi Rabu.

7 JANUARI 2020: Kelantan

Kepenatan membantu mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) menyebabkan seorang lelaki ditemukan lemas selepas dia pengsan dan terjatuh dari perahu di Kampung Manjor, Kuala Krai, pada Rabu malam.

Jasad Mohammad Hakimin Rahim, 20, dijumpai pada 8.30 pagi Khamis oleh ahli keluarganya di dasar sungai di tempatnya dilaporkan terjatuh dari perahu.

8 JANUARI 2020: Pahang

Selepas lima hari hilang mayat seorang lagi wanita yang dibawa arus deras dalam kejadian bot terbalik di Sungai Jelai ditemukan di Kuala Sungai Tanum, berhampiran jambatan kereta api Bukit Betong hari ini.

Mayat mangsa, Nur Zakirah Ahmad Hussin, 19, ditemukan penduduk kampung kira-kira pukul 11 pagi Jumaat.

8 JANUARI 2020: Pahang

Kegembiraan empat remaja mandi air banjir di Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling di sini pada petang Khamis (7 Januari) berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka terlibat dalam insiden lemas.

Mohammad Zamarulhisyam Shaari, 15, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala LIpis pada Jumaat selepas situasinya yang kritikal tidak dapat diselamatkan.


* Senarai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.