IPOH: Belanjawan Negeri Perak 2022 akan memberi fokus kepada pemain sektor pelancongan untuk membantu mereka yang terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata perincian lebih lanjut mengenai belanjawan berkenaan akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, Disember ini.

"Secara dasarnya, perincian belanjawan sudah dibincangkan dan mendapat persetujuan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri minggu lepas.

"Namun, perubahan belanjawan negeri tertakluk kepada Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen pada penghujung bulan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di sini semalam.

Saarani berkata pihaknya turut memberi perhatian kepada beberapa sektor lain seperti pembangunan fizikal negeri dan memberikan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana yang turut terjejas akibat COVID-19.

''Contohnya, jika kita tidak memberi fokus kepada peruntukan pembangunan fizikal ia memberi kesan kepada kontraktor, pembekal pasir, kilang simen, perkasasan seterusnya dapat membantu ekonomi kontraktor dan pembekal bahan binaan,'' katanya.

-- BERNAMA