KUALA LUMPUR: Tiga inisiatif utama Belanjawan 2025 yang dikhususkan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mencerminkan tekad kerajaan mewujudkan ekonomi MADANI yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata ini termasuk peruntukan subsidi RM100 juta dalam bentuk geran padanan bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang disifatkan langkah tepat, mengambil kira pola peningkatan peralihan pekerja ke sektor tidak formal pasca-COVID-19

"Inisiatif padanan caruman yang 70 peratus dibiayai kerajaan menerusi SKSPS manakala baki 30 peratus oleh individu bekerja sendiri mencerminkan kecaknaan kerajaan mengenai keperluan menyediakan jaringan keselamatan sosial bagi pekerja di sektor tidak formal.

"Kelangsungan usaha ini penting kerana jurang keadilan sosial antara sektor formal dan tidak formal masih wujud sekali gus mendedahkan individu bekerja sendiri kepada pelbagai risiko bencana kerja serta kehilangan punca pendapatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selain geran padanan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membentangkan Belanjawan 2025, Jumaat lepas turut mengumumkan lanjutan Daya Kerjaya 3.0 dan pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso serba canggih di Terengganu.

Mohammed Azman berkata tekad kerajaan meneruskan insentif RM600 bagi tempoh tiga bulan kepada majikan yang menggaji pekerja orang kurang upaya (OKU) dan bekas banduan di bawah Dana Kerjaya, dapat memastikan golongan rentan mendapat pembelaan sewajarnya dalam kerancakan sektor pasaran buruh.

Beliau berkata pembinaan Pusat Rehabilitasi Pekesoa di Terengganu dengan anggaran kos pembinaan hampir RM600 juta pula adalah strategi 'serampang dua mata'.

"Hal ini kerana penyediaan kemudahan rehabilitasi yang ketiga seumpamanya di negara ini bukan sekadar menawarkan perkhidmatan holistik daripada rawatan pemulihan hingga program kembali bekerja, malah menjana peluang pekerjaan setempat," katanya.

Mohammed Azman berkata pembangunan pusat rehabilitasi itu juga diyakini mampu menyuraikan kesesakan perkhidmatan dan menjamin keadilan sosial merentas sempadan wilayah serta negeri.

-- BERNAMA