Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, insentif melibatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City akan membantu mencapai matlamat tersebut.
"Inisiatif melibatkan JS-SEZ dan juga insentif menarik ditawarkan melalui SFZ Forest City akan memperkukuh lagi daya saing ekonomi Johor.
"Selain itu, kesinambungan pelaksanaan projek-projek pembangunan di Johor seperti pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Hospital Sultanah Aminah 2 dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) akan beri manfaat secara langsung kepada kehidupan rakyat negeri ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Onn Hafiz dalam pada itu turut berkata, Johor menyambut baik Belanjawan 2025 bertemakan Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat itu.
"Nantikan juga amanat saya dalam pembentangan Belanjawan Johor 2025 tidak lama lagi yang akan menyentuh pelbagai inisiatif, perancangan, bantuan dan pembangunan.
"Ini akan memberi manfaat serta keyakinan bahawa kerajaan negeri memandang serius tentang kepentingan rakyat. Insya-Allah," katanya.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata akan mengumumkan insentif khas untuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjelang akhir tahun ini.
Menurut beliau, insentif khas yang disediakan boleh menarik pelaburan berkualiti dan menawarkan pekerjaan bernilai tinggi dalam usaha memacu pertumbuhan zon berkenaan sekali gus menjadi zon ekonomi khas yang mampan. - BERNAMA