Speaker DUN Selangor Lau Weng San berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka berangkat ke pembukaan sidang pada tarikh berkenaan dan persidangan itu akan berlangsung selama dua minggu.
"Tarikh itu dilihat amat bersesuaian sebelum umat Islam menyambut Ramadan. Jadi, kita merasakan tarikh yang ditetapkan kelak sesuai bagi memastikan urusan mesyuarat dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Selangor 2024 di Dewan Raja Muda Muda di sini hari ini.
Ditanya mengenai fokus sidang itu kelak, Lau berkata titah Sultan Sharafuddin pada istiadat pembukaan dijangka menjadi tumpuan utama sepanjang dua minggu bersidang.
"Selain itu, kita jangkakan isu banjir akan terus dijadikan fokus (utama) berdasarkan perbahasan pada mesyuarat penggal sebelum ini dan difahamkan Michelle Ng Mei Sze (Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya) akan membentangkan penyata berkaitan banjir," katanya.
Sebelum ini, persidangan DUN Selangor yang berlangsung bermula 15 Nov lepas ditangguhkan pada 27 Nov ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Sebanyak 104 pertanyaan lisan dijawab, manakala Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan Selangor 2025) diluluskan pada persidangan yang berlangsung selama lapan hari itu.
-- BERNAMA