KUALA LUMPUR: Sektor pendidikan yang menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2025 disifatkan sebagai memenuhi keperluan semua segmen pelajar dan mampu mengangkat martabat rakyat melalui pendidikan.


Ringkasan AI
  • Sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2025 sebanyak RM64.1 bilion, bertujuan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah, serta membina sekolah baharu.
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menekankan bahawa peruntukan ini adalah inklusif, memastikan tiada pelajar yang terpinggir dan semua segmen pelajar mendapat manfaat.
  • Selain projek naik taraf sekolah, 11 Pusat Permata baharu akan dibina untuk anak-anak autistik di seluruh negeri, termasuk Kelantan, Terengganu, Sabah, dan Sarawak.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata komitmen besar daripada kerajaan itu adalah inklusif yang bermaksud tiada anak-anak yang akan terpinggir serta semua segmen pelajar mendapat manfaat daripada peruntukan itu.

"Pengumuman itu telah memberikan kita satu dimensi sangat besar. Pertamanya, soal komitmen pendidikan yang mesti diterajui dengan lebih cekap kerana melibatkan peruntukan besar. Kedua, adalah segmen inklusif yang bermaksud anak-anak kita ini tiada yang terpinggir.

"Kita lihat melalui pengumuman semalam, semua segmen anak-anak kita mendapat manfaat yang cukup besar daripada sekolah-sekolah baharu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA'2024) di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, semalam mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) telah diberi peruntukan tertinggi sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion ringgit tahun ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu antara lain bagi projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara, pembinaan sekolah baharu, bantuan pendidikan serta bantuan awal persekolahan.

Selain itu, 11 Pusat Permata baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, Fadhlina berkata KPM menggalas amanah besar dalam memastikan peruntukan Belanjawan 2025 dapat memberi impak positif kepada Reformasi Pendidikan yang sedang berjalan ketika ini.

Mengenai program hari ini, Fadhlina berharap KLIA'2024 anjuran Pusat PERMATA Kurnia (PPK) dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa khususnya untuk membina keyakinan, kepercayaan dan mengukuhkan lagi sisi pendidikan manusiawi dan pendidikan berkeperluan khas bagi anak-anak di bawah KPM.

Dalam perkembangan lain berhubung perubahan cuti hujung minggu Johor daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025, Fadhlina berkata KPM telah melaksanakan langkah dari aspek penyelarasan jadual persekolahan mengikut ketetapan perubahan itu.

"Tidak ada masalah (Johor) boleh terus dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA