KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan (KPM) menangani setiap aduan melibatkan kes buli di sekolah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kementerian itu.


Ringkasan AI
  • KPM menangani setiap aduan buli mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, memastikan aduan diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
  • KPM melibatkan ibu bapa, komuniti, ketua pelajar, dan pengawas dalam usaha menghentikan buli, serta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat jika ada ketidakpuasan hati terhadap proses SOP.
  • KPM menegaskan bahawa mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kes buli dan sentiasa turun padang untuk melaksanakan advokasi berkaitan hentikan buli di sekolah.


Menterinya Fadhlina Sidek yakin melalui pendekatan itu, kes buli akan dapat ditangani dengan lebih berkesan khususnya apabila turut melibatkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan komuniti.

Beliau berkata KPM juga memberi ruang kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan proses SOP sedia ada menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lebih lanjut.

"Aduan buli ini kita tangani mengikut SOP dan kebanyakan selesai dalam tempoh yang ditetapkan, ini yang kita mahu iaitu aduan tersebut sampai kepada pihak kita.

"Jadi kita boleh sertakan data, ambil tindakan intervensi serta merta dan memastikan keadilan dapat diberikan pada semua pihak. Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang tegas dalam soal buli ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Gerakan Kepimpinan MADANI: Hentikan Buli di Sekolah Menengah Lok Yuk di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Fadhlina berkata KPM sentiasa turun padang ke sekolah terpilih untuk melaksanakan advokasi berkaitan hentikan buli yang turut memerlukan komitmen daripada semua pihak.

Beliau berkata melalui pendekatan itu perbincangan dengan ketua pelajar dan pengawas dapat dijalankan bagi memahami isu yang terdapat di sekolah berkenaan.

"Penegasan telah KPM beri berulang kali dan saya bagi penegasan sekali lagi bahawa tidak ada dan tidak boleh menyembunyikan kes berkaitan dengan buli ini," katanya.

-- BERNAMA