KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700, berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

Bagaimanapun beliau berkata, Kerajaan bersetuju untuk menangguh kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan, iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

“Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.  Umpamanya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985 ringgit),” katanya lagi.

Selanjutnya, Perdana Menteri berkata, Dasar Gaji Progresif ialah ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja.

Dasar itu, katanya lagi, sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan, dengan RM200 juta yang akan memanfaatkan 50 ribu pekerja.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) merupakan ikhtiar  kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar melalui peningkatan pendapatan rakyat.

“Melalui ikhtiar IPR INSAN, Saudari Normaladiana Mohd Yazal yang merupakan OKU fizikal, telah membantu suaminya berniaga dan berjaya meraih pendapatan untuk keluarga hampir dua kali ganda," katanya memberikan contoh.

Mengulas lanjut, beliau berkata: “Tahun hadapan, RM250 juta disediakan untukmeningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan mereka,” katanya.