Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata selain itu, pengumuman beberapa dana termasuk RM900 juta di bawah seliaan Bank Negara Malaysia untuk perusahaan kecil dan sederhana dapat menggalakkan golongan itu mengguna pakai aplikasi serta teknologi 5G.
"Ini kerana kita jangka capaian bagi 5G dapat mencecah 80 peratus menjelang hujung tahun ini dan dengan rangkaian yang luas, kita harap lebih banyak, bukan hanya rakyat biasa tetapi juga syarikat terutama PKS, dapat memanfaatkan sepenuhnya," kata beliau pada sidang media di lobi bangunan Parlimen di sini.
Fahmi turut menyifatkan Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini sarat dengan inisiatif yang komprehensif dan memanfaatkan setiap lapisan rakyat.
Selain itu, beliau menyambut baik pengumuman cukai perkhidmatan (SST) bagi sektor telekomunikasi dikekalkan pada tahap enam peratus.
Fahmi berkata ini kerana berdasarkan data kajian yang dilakukan (oleh Jabatan Perangkaan Malaysia), pengekalan kadar SST bagi sektor itu serta sektor makanan dan minuman akan menyaksikan tiada peningkatan harga terhadap 25 hingga 30 peratus barangan keperluan rakyat.
"Jadi ia adalah satu perkara yang sangat baik. Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk penyasaran semula subsidi," katanya.
Beliau turut mengalu-alukan pengumuman pemberian RM2,000 kepada penjawat awam dan RM1,000 kepada pesara kerajaan.
"Saya percaya bagi penjawat awam, sumbangan itu sangat dialu-alukan dan kita nantikan proses semakan semula bagi gaji penjawat awam dan kita harap syarikat-syarikat swasta juga akan turut serta dalam usaha meningkatkan gaji melalui skim gaji progresif," katanya.
-- BERNAMA