KUALA LUMPUR: Pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan MADANI Kedua, dengan Kementerian Pendidikan diperuntukkan RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion pada tahun 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara. 

Jelas beliau, ia merangkumi RM930 juta bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah. 

"Sebanyak RM1 bilion pula adalah untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah Tamil dan Cina termasuk sekolah pendidikan khas, dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme. 

"Sebanyak 26 buah sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion. Antaranya termasuklah; SMK Laya-laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang;  SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak; dan  SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan," katanya kata Perdana Menteri ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa sama, Anwar berkata bagi memperkasakan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sebuah Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian akan ditubuhkan.

Kerajaan, tambah beliau menyediakan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.