KUALA LUMPUR: Seorang bekas peguam dihukum penjara dua tahun dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM24,600 milik pelanggannya dari 2010 hingga 2011.


Ringkasan AI
  • Bekas peguam Wan Jasmira Wan Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan didenda RM15,000 atas lima pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM24,600.
  • Kesalahan dilakukan antara 2010 hingga 2011, melibatkan wang milik lima individu.
  • Hukuman penjara berjalan serentak, dan tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.


Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Jasmira Wan Ibrahim, 41, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

"Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini," kata hakim itu.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Wan Jasmira yang ketika itu seorang peguam di sebuah syarikat guaman didakwa melakukan pecah amanah wang milik lima individu di sebuah unit pejabat di Off Jalan Gombak, Setapak antara 7 Julai 2010 hingga 26 Ogos 2011.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun hingga maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman manakala tertuduh diwakili peguam Azi Azlin Zulkifli.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada Oktober 2023.

-- BERNAMA