Bekas pegawai khas kepada Menteri Pertahanan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM80,000 pada 2014.

Bagaimanapun, Zailan Jauhari, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Zailan yang ketika itu Pegawai Tugas-tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menerima suapan dalam bentuk wang tunai RM20,000 dan sekeping cek berjumlah RM60,000 daripada Siti Rahmah Sabli.

Wang tersebut didakwa diberikan sebagai upah kepada tertuduh untuk mendapatkan tender bagi kerja-kerja pembersihan sekolah di Zon 2 dan Zon 4 dalam daerah Kuala Selangor untuk syarikat KCM Maju Resources dan Syarikat Sri Kajang Jaya.

Tertuduh didakwa di bawah seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang mana boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Kes disebut semula pada 13 Februari ini.