Bekas calon PAS Parlimen Larut, Datuk Mohd Fauzi Shaari dilaporkan meninggal dunia pada Ahad di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang.

Mohd Fauzi, 63 yang juga merupakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) meninggal dunia pada jam 8.17 malam akibat jangkitan kuman pada hati dan buah pinggang.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi, meluahkan rasa dukacita dan sedih diatas berita pemergian Mohd Fauzi.

“Allahyarham dilihat sebagai tokoh polis dan tokoh masyarakat yang mempunyai keperibadian yang begitu hebat dan kehilangannya amat dirasakan seluruh ahli parti” katanya.

Salahuddin yang mewakili pucuk tertinggi kepimpinan parti turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat.

Jenazah Allahyarham dibawa balik ke rumah Allahyarham di Shah Alam.

Pengebumian akan disempurnakan pada hari ini di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.