KUALA LUMPUR: Bekalan air di kesemua kawasan terjejas di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, 7 Jun 2024 (Jumaat).

Ini susulan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor fasa 1 (LRA SSP1) yang dimulakan Air Selangor pada Rabu.

Air Selangor dalam satu kenyataan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.


“Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa, daripada saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari airselangor.com.,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan pengguna di tujuh daerah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor disaran untuk menyimpan bekalan air secukupnya ekoran gangguan berjadual bermula pada Rabu.