Bekalan air bagi penduduk di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, daerah Petaling dan Hulu Langat akan diagihkan secara berperingkat mulai hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Pengurusan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata bekalan air bantuan juga akan dihantar dengan lori tangki ke kawasan terlibat dan premis kritikal, seperti hospital dan pusat dialisis.

"Bekalan air akan diagihkan ke kawasan terlibat di Kuala Lumpur dan sebahagian daerah Petaling serta Hulu Langat mulai esok (hari ini), sebagai langkah sementara, demi memastikan pengguna tidak mengalami gangguan bekalan air berpanjangan," katanya dalam kenyataan, di sini pada Sabtu.

Pengguna di kawasan yang terlibat mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan loji rawatan air Langat dan Sungai Cheras Batu 11 akibat pencemaran bau dari Sungai Semantan, Pahang.

Sehubungan itu katanya, kedua-dua loji berkenaan telah bertukar sumber air mentah daripada Sungai Semantan kepada empangan Sungai Langat.

Katanya, pasukan pemantau sungai Air Selangor masih berada di Pahang sejak Jumaat bagi membantu Badan Kawal Selia Sumber Air Pahang dan Jabatan Alam Sekitar Pahang untuk mengenal pasti punca pencemaran di Sungai Semantan.