Menurut Timbalan Ketua Eksekutif (Perhubungan Korporat) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Nurdita Fadzlinda, penganjuran bazar itu bertitik tolak daripada kejayaan tahun lalu.
Katanya, bazar terpanjang di Perak itu sejauh 500 meter serta menjual pelbagai menu unik kepada orang ramai.
"Populariti BSAS telah melonjakkan namanya sebagai destinasi ramai terutama hari minggu.
"Bersempena bulan Ramadan, PKNPk telah membuka ruang perniagaan kepada 100 peniaga yang menyajikan aneka jenis kuih muih, lauk pauk dan minuman sebagai pilihan juadah berbuka puasa.
"Bazar ini beroperasi dari jam 3 petang hingga 11 malam setiap hari bermula 12 Mac hingga 9 April," katanya pada Khamis.
Katanya lagi, menu menarik yang terdapat di situ seperti royal popiah Kuala Kangsar, air tembikai sarbat, nasi ayam tauge Las Vegas dan pelbagai lagi.
"BSAS merupakan lokasi pilihan kepada trend berbuka gaya berkelah dalam kalangan orang ramai setiap tahun.
"Malah, trend berbuka secara santai ini telah menjadi tular tahun lalu. Menjadi harapan kami untuk menganjurkan bazar Ramadan yang mesra pengunjung dan terbesar di Perak suatu hari nanti serta memastikan BSAS lebih selesa untuk kegunaan pengunjung," katanya lagi.
Tahun lalu, PKNPk telah melantik syarikat pengurusan acara bagi mengendalikan bazar Ramadan tersebut dan berjaya menarik seramai 50,000 pengunjung.
Bertitik tolak dari kejayaan tahun lalu, ia dianjurkan sepenuhnya oleh PKNPk tahun ini melalui Bahagian Aset dan Pentadbiran.
Dalam pada itu, katanya, 20 unit tong sampah tambahan ditempatkan di kawasan tumpuan pengunjung terutama di tapak perkelahan dekat tengah bulatan.
"Susun atur bazar tahun ini juga lebih selesa untuk pengunjung khususnya laluan pejalan kaki yang lebih lebar.
"Kemudahan tandas yang mencukupi dan surau yang selesa turut terdapat di situ.
"Surau untuk lelaki dan wanita yang dilengkapi dengan tempat mengambil wuduk mampu memuatkan sekitar 30 orang dalam satu satu masa," katanya.