KEMAMAN: Seorang pengasuh ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bayi perempuan berusia lima bulan yang mengalami pendarahan otak serta patah tangan kiri selepas dihantar ke kediamannya di Taman Banggol Indah, Paya Berenjut.


Ringkasan AI
  • Seorang pengasuh berusia 29 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bayi perempuan berusia lima bulan yang mengalami pendarahan otak dan patah tangan kiri di Taman Banggol Indah, Paya Berenjut.
  • Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin pada Sabtu untuk membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
  • Kejadian itu bermula apabila ibu mangsa membawa bayinya ke Hospital Kemaman selepas mendapat panggilan daripada pengasuh, yang memberitahu bahawa bayi tersebut sakit dan demam sebelum didapati mengalami kecederaan serius.


Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, pada Sabtu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, pengasuh berusia 29 tahun itu ditahan polis kira-kira jam 3.30 petang Jumaat di kediamannya bagi membantu siasatan.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan polis akan mengambil keterangan seorang pengasuh bagi membantu siasatan berhubung kes bayi perempuan berusia lima bulan yang mengalami pendarahan otak dan patah tangan kiri pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ini berikutan pihaknya menerima laporan polis yang dibuat pada jam 1.30 petang daripada seorang pegawai perubatan yang merawat bayi berkenaan.

Menurut Hanyan, ibu mangsa menerima panggilan daripada pengasuh yang memberitahu anaknya sakit dan demam.

Katanya, ibu mangsa membawa bayi itu ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan kira-kira jam 11.30 pagi, selepas ibu mangsa mendapati anaknya dalam keadaan tidak bermaya.

Hanyan berkata, hasil pemeriksaan daripada doktor mendapati bayi tersebut mengalami patah tangan kiri selain rawatan lanjut turut mendapati terdapat pendarahan dalam otak mangsa. - Sinar Harian