KUALA SELANGOR: Luluh hati seorang bapa apabila mengangkat dua jenazah anaknya yang ditemui lemas dalam parit di Jalan Jepun, Kampung Melaka, Tanjong Karang di sini pada petang Jumaat.

Muhammad Yahya, 58, berkata, perasaannya hiba sebaik membawa jenazah dua beradik itu iaitu Mohd Rasul Iman, 9 dan adiknya, Mohd Abd Qoyum, 7, yang ditemui tenggelam dalam parit terbabit.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 6.30 petang Jumaat itu berlaku sewaktu dia ingin pulang ke rumah selepas memasak di rumah kenduri kenalannya di Kampung Melaka, Tanjong Karang.

"Puas saya mencari Rasul dan Qoyum sekeliling kampung, namun masih tidak ditemui hingga saya menghubungi isteri memaklumkan mereka hilang di rumah kenduri.

"Akhirnya saya ternampak bola dan selipar serta buih dalam parit berhampiran, saya berasa tidak sedap hati dan tergerak untuk turun dalam parit," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Muhammad yang menetap di Parit 1 Sungai Burong memberitahu, gerak hatinya itu tepat apabila dia yang turun ke dalam parit menemui mayat Qoyum terlebih dahulu.

"Masa itu, saya memang terkejut dan air mata berjurai melihat anak sudah kaku tidak bermaya.

"Sebaik mengangkat dan meletakkan mayat Qoyum di atas, saya turun sekali lagi dalam parit dan menemui jasad Rasul pula tidak jauh daripada adiknya," ujarnya.

Menurut Muhammad, anak ketiga dan keempat daripada lima beradik itu sebelum ini mengikutnya ke rumah kenalannya untuk menyediakan juadah majlis kenduri arwah pada sebelah malam.

"Saya bantu memasak nasi dan lauk kicap di rumah rakan yang turut mengadakan majlis kenduri kahwin pada keesokannya (Sabtu).

"Tidak sangka pula permintaan terakhir mereka mengikut saya ke rumah kenduri menjadi petanda dua anak saya dijemput Ilahi buat selamanya," tambahnya.

Muhammad berkata, kedua-dua anaknya itu sangat rapat dengannya dan isteri, Julina Abd Majid, 41.

“Mereka berdua ini macam kembar walaupun berbeza dua tahun, malah kalau beli baju biasanya sama.

"Mereka memang sangat rapat dan tidak sangka mereka berdua pergi jua bersama, namun saya reda kerana ini semua ketentuan Ilahi.

"Pastinya, saya dan isteri serta adik-beradik mereka yang lain merindui keletah dan gelak tawa mereka berdua," ujarnya.

Terdahulu, jenazah dua beradik itu disembahyangkan di Surau Batu 11, Parit 1 di sini dan kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Tengkorak kira-kira jam 10 pagi pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua beradik lemas selepas dipercayai cuba mengambil bola di tepi parit di Jalan Jepun, Kampung Melaka, Tanjong Karang di sini pada lewat petang Jumaat.

Kedua-dua kanak-kanak lelaki itu berusia 7 dan 9 tahun itu dipercayai mengikut bapa mereka menghadiri gotong-royong kenduri kahwin di sebuah rumah kenalannya di kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajuddin mengesahkan kejadian itu selepas menerima laporan pada jam 9.51 malam Jumaat. - Sinar Harian