Ringkasan AI
- Polis menahan seorang pekebun berusia 56 tahun di Changkat Jong kerana disyaki melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuan kandungnya sejak 10 tahun lalu.
- Mangsa yang kini berusia 21 tahun melaporkan kejadian tersebut, mendakwa suspek sering mengugutnya agar tidak mendedahkan perbuatan tersebut.
- Suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, dan mangsa telah dirujuk ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki itu ditahan di Changkat Jong di sini pada Rabu selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 21 tahun.
"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Hilir Perak telah menahan suspek sekitar jam 1.45 petang.
"Suspek disyaki terlibat dalam kes gangguan seksual dan serangan seksual terhadap anak kandungnya sendiri sejak mangsa berusia 11 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang mendakwa suspek telah beberapa kali melakukan perbuatan itu dan kali terakhir dilakukan pada Jumaat minggu lalu.
"Mangsa kemudian melarikan diri dan tinggal di rumah rakannya sebelum dinasihati untuk membuat laporan bagi memastikan keselamatan dirinya terjamin.
"Mangsa mendakwa suspek yang juga duda sering mengugut agar tidak mendedahkan kejadian tersebut kepada sesiapa," katanya.
Ahmad Adnan berkata, mangsa telah dirujuk ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut.
Tambah beliau, suspek direman tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(3) iaitu kesalahan rogol. -Sinar Harian