KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengulangi keperluan untuk melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan dalam konflik Palestin-Israel yang berlaku sekarang ini untuk membolehkan bantuan segera dan perlu sampai ke Gaza.

Beliau menekankan pentingnya tindakan itu kerana jumlah bantuan yang dihantar sekarang ini tidak mencukupi dan perlu ditingkatkan secara besar-besaran secepat mungkin, dengan Rafah membuka pintunya lebih luas untuk membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan masuk.

Rutte memberitahu media di Muzium Seni Islam, di sini pada Rabu, sempena lawatan dua hari ke Malaysia.

Belanda juga sedang mengusahakan beberapa inisiatif untuk membolehkan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza, termasuk pilihan untuk menyediakan bantuan dari laut melalui Cyprus.

"Ya, terdapat banyak inisiatif yang sedang berlaku pada masa ini. Saya berharap secepat mungkin ada satu atau dua yang akan berjaya," katanya.

Lebih daripada 8,525 orang termasuk kanak-kanak, pekerja bantuan, dan wartawan terbunuh manakala sekurang-kurangnya 22,000 orang lagi cedera dalam serangan berterusan tentera pendudukan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas.

Kawasan itu dengan penduduk seramai 2.3 juta orang juga dikepung sepenuhnya menyebabkan berlaku kekurangan makanan, air, ubat-ubatan, dan bahan api, sementara konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza hanya membawa sebahagian kecil daripada bekalan yang diperlukan.

Perdana Menteri Belanda itu berkata tindakan tentera Israel membunuh penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat perlu dihentikan, sambil menekankan perlunya semua pihak memulakan semula usaha menuju penyelesaian dua negara.

"Saya fikir ini juga satu-satunya cara bagi Israel dan Palestin untuk wujud sebagai dua negara tersendiri ," katanya.

Mengenai pertemuan dua hala dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, Rutte berkata mereka bertukar pendapat mengenai pelbagai isu dua hala, serantau, dan antarabangsa yang menarik minat bersama, termasuk mengenai Palestin.

Beliau berkata Belanda dan Malaysia memanfaatkan hubungan mereka yang lama dan sebagai negara berpengaruh di rantau masing-masing, ingin bekerja lebih erat untuk memperluas kerjasama, terutama dalam domain digital dan industri semikonduktor peringkat tinggi.

Sebagai sebahagian daripada lawatannya di sini, Rutte juga bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi dengan perbincangan berkisar kepada keadaan semasa industri minyak kelapa sawit.

Ini termasuk persetujuan Belanda untuk memperluas program yang ditandatangani di bawah memorandum persefahaman (MOU) antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan dua pertubuhan bukan kerajaan Belanda yang ditandatangani pada tahun 2020, untuk mempercepat matlamat Malaysia dalam pengeluaran minyak kelapa sawit lestari selama lima tahun lagi.

Belanda juga bersetuju untuk menyokong Malaysia dalam mesyuarat kedua berkenaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Eropah (EUDR) pada Disember ini.

Belanda merupakan pengimport terbesar minyak kelapa sawit Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah dan juga merupakan antara negara yang menyokong Malaysia dalam isu berkaitan minyak kelapa sawit selama bertahun-tahun.

Rutte juga menyampaikan ucapan dasar dan mengambil bahagian dalam sesi dialog dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada Dialog Air Malaysia-Belanda ke-6 dalam usaha untuk menangani isu-isu berkaitan air.

Ini adalah lawatan kedua Rutte ke Malaysia sejak menjadi perdana menteri pada tahun 2010. Beliau kali terakhir melawat pada tahun 2014.

-- BERNAMA