Kerajaan Negeri Terengganu akan menyegerakan kerja-kerja pembaikan rumah mangsa yang terjejas akibat ribut di beberapa buah kampung di negeri itu semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya telah meminta pihak yang berkaitan bagi mempercepatkan urusan membaik pulih termasuk menukar atap dan sebagainya.

“Baiki segera, jika boleh lakukan secara bergotong-royong, kerana yang lebih utama, permasalahan rakyat perlu diselesaikan secepat mungkin,” katanya selepas meninjau kediaman mangsa ribut di sekitar daerah Marang pada Isnin.

Ahmad Razif berkata, setakat ini sebanyak 458 buah rumah melibatkan daerah Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, dilaporkan rosak akibat ribut yang melanda petang Ahad.

Jelasnya, daripada jumlah itu, Kampung Alor Limbat mencatatkan kerosakan tertinggi iaitu sebanyak 338 buah kediaman.

Menurutnya, jumlah itu kemungkinan akan bertambah berikutan masih ada penduduk yang tidak melaporkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ahmad Razif berkata, anggaran kerugian juga masih belum dapat ditafsirkan.

“Kerajaan akan bantu apa saja mengikut keperluan dan bantuan segera akan diberikan kepada mangsa yang terjejas,” katanya.