Percikan bunga api berwarna-warni menghiasi ruang angkasa ibu negara dan beberapa lokasi di seluruh Malaysia sebaik sahaja jarum jam melepasi 12 tengah malam sekali gus menandakan bermulanya tahun baharu 2018.
Malaysia menyertai dunia menyambut kedatangan tahun baharu dengan suasana yang cukup meriah dengan beberapa acara diadakan di seluruh negara yang disertai ribuan rakyat berbilang kaum dan agama.
Di ibu negara, ribuan termasuk pelancong asing menyambut 2018 di beberapa lokasi tumpuan seperti Dataran Merdeka, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Bukit Bintang, Menara Kuala Lumpur dan Mutiara Damansara Commercial Centre (MDCC).
Orang ramai mula membanjiri kawasan-kawasan berkenaan seawal 8 malam yang sebelum itu telah dihiburkan dengan pelbagai persembahan yang disediakan pihak penganjur sambutan yang rata-rata terdiri daripada pihak swasta seperti pancuran air bercahaya dan konsert.
Bersama kegembiraan dan sorakan "Selamat Tahun Baharu" dan "Happy New Year" yang mengiringi kedatangan 2018, tersemat 1,001 pengharapan dalam kalangan rakyat agar tahun ini menjadi lebih baik berbanding tahun lepas.
Pekerja swasta, Muhammad Afiq Syahmi, 25, yang ditemui Bernama di Bukit Bintang di sini berkata bagi tahun 2018 beliau berharap agar ekonomi negara akan bertambah stabil dan kukuh dalam semua sektor dalam negara.
"Sekarang ini pun kita sudah dapat menyaksikan pemulihan mata wang ringgit yang kini sudah kembali kukuh, kita harap perkara ini boleh berterusan tahun hadapan bagi membawa negara ke depan setanding dengan kuasa ekonomi dunia yang lain," katanya yang hadir ke Bukit Bintang bersama keluarganya seawal 6 petang.
Pegawai perhubungan awam, Lee Pei Yuenn, 26, berkata tahun 2018 diharap dapat membuka satu lembaran baharu dalam memperkukuhkan semangat perpaduan antara kaum di negara ini.
"Kita sudah hidup dalam satu masyarakat besar sejak dulu lagi dan baru-baru ini kita semua tahu ada pihak-pihak yang cuba mengganggu kesepaduan ini, 2018 ini kita harap rakyat lebih sensitif mengenai perkara yang melibatkan kaum dan agama," katanya.
Sambutan tahun baharu di MDCC dimulakan dengan MDCC Fun Run Countdown Run sejauh 5km pada 9 malam dan peserta mengenakan baju berwarna oren terang untuk memeriahkan parti 2018 MDCC Annual Countdown Party yang terletak di antara IKEA dan The Curve, sebelum menunggu acara kemuncak persembahan bunga api terbesar selama 10 minit sebaik sahaja tengah malam.
Di PUTRAJAYA, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di sini bermandikan cahaya dengan pertunjukan bunga api digital menghiasi bangunan Istana Kehakiman, sekali gus menghiburkan kira-kira 500,000 pengunjung yang hadir meraikan malam detik Ambang Tahun Baharu 2018.
Pertunjukan bunga api digital menggunakan teknik kreatif, resolusi tinggi serta sistem bunyi dan kandungan visual yang diterapkan dipancarkan serentak dengan tembakan bunga api secara langsung mengambil masa lima minit itu diadakan sempena penutupan Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) yang telah berlangsung di Dataran Putrajaya sejak Khamis lepas.
Penutupan acara bertujuan mempromosikan Putrajaya sebagai bandar perintis di Malaysia yang menerapkan elemen pencahayaan bersistematik dan dinamik khususnya dalam aspek penggunaan teknologi terkini dan penjimatan tenaga itu diserikan dengan kehadiran Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail.
Di MELAKA, Sambutan Ambang Tahun Baharu 2018 diadakan di Dataran 1Malaysia Klebang yang dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan disertai ribuan rakyat di negeri itu.
Antara aktiviti yang disediakan ialah pertandingan sukan rakyat, kejohanan Muay Thai, demo memasak, persembahan artis jemputan, persembahan kebudayaan, pelancaran Kalendar Acara Pelancongan Melaka 2018 dan pertunjukan bunga api.
Idris dalam ucapanya berkata rakyat Melaka perlu meningkatkan iltizam, membina keazaman dan keyakinan diri demi mencapai matlamat ke puncak jaya serta menjadikan tahun 2018 lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Di PERAK, hujan renyai di sekitar bandar raya Ipoh tidak menghalang lebih 10,000 orang menghadiri sambutan ambang Tahun Baharu 2018 di Dataran Bandaraya Ipoh anjuran kerajaan negeri dan Tourism Perak yang dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan serta artis terkemuka tanah air termasuk Datuk Jamal Abdillah.
Turut menjadi tumpuan warga bandar raya Ipoh adalah taman tema Lost World of Tambun yang dibanjiri kira-kira 20,000 pengujung manakala di Dataran Menara Condong Teluk Intan pula, orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar dengan ikon bandar tersebut yang diterangi hiasan lampu-lampu menarik.
Di SEREMBAN, kira-kira 5,000 orang menghadiri sambutan tahun baharu Negeri Sembilan Fest 2017 anjuran Persatuan Karyawan Negeri Sembilan (PKNS), Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan GIG Technology yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi sejak pukul 8 malam tadi.
Negeri Sembilan Fest 2017 yang telah berlangsung sejak Jumaat lepas turut menyediakan 70 buah khemah jualan selain orang ramai turut disajikan dengan konsert daripada artis Najwa Latif, Dva, Sixth Sense serta Slash, sementara menunggu detik 12 tengah malam.
Di LANGKAWI, Larian Langkawi Fun Nite Run 2017-2018 anjuran Persatuan Pelancongan Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memeriahkan sambutan ambang tahun baharu di pulau peranginan itu dengan melibatkan kira-kira 1,000 peserta.
Acara Langkawi International Blues and Roots Aseana (LIBRA), sebuah festival muzik blues pertama di Malaysia melabuhkan tirai dengan membuat kiraan detik ke tahun baharu di Pantai Chenang.
Menyajikan persembahan muzik blues oleh artis-artis dari Malaysia, Singapura dan Australia, acara yang dianjurkan bersama LADA, Itos Cottage Music dan SB Explorer Sdn Bhd itu telah bermula sejak Jumaat lepas dan menarik lebih 3,000 orang genre blues dari dalam dan luar negara.
Di TERENGGANU, konsep sambutan Malam Ambang Tahun Baharu 2018 anjuran kerajaan negeri kali ini diadakan penuh kesederhaan dan pengisian ke arah kerohaniandi Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, berbanding sambutan penuh warna-warni pada tahun sebelumnya.
Ambang tahun baharu diisi dengan acara solat hajat perdana, forum agama dan persembahan nasyid daripada kumpulan Far East serta kumpulan Selawat yang bermula pada 10 malam dan dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Wan Nawawi Wan Ismail serta barisan exco kerajaan negeri dan penduduk di sekitar daerah ini.
Terdahulu, Ahmad Razif dalam ucapannya berkata sambutan sedemikian diadakan bagi mengingati penderitaan yang dialami umat Islam di seluruh dunia ekoran penindasan dan kezaliman yang dilakukan musuh-musuh Islam termasuk umat Islam di Palestin.
Pada majlis itu, beliau bagi pihak kerajaan negeri menyampaikan sumbangan RM500,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan Aman Palestin untuk disalurkan kepada penduduk Palestin yang kini dizalimi rejim zionis, sebelum solat hajat yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Ash-Shafie Abd Manan diadakan tepat detik 12 tengah malam.
Di KUCHING, sambutan ambang tahun baharu dirai meriah di Tebingan Sungai Kuching (Kuching Waterfront) seawal pukul 8 malam tadi dengan persembahan pentas yang bertenaga.
Di samping persembahan muzik, pentas persembahan itu yang dibangunkan sejak semalam lagi turut menyajikan persembahan tarian-tarian tradisional, moden dan juga pertunjukan fesyen untuk menghiburkan ribuan pengunjung yang membanjiri kawasan pentas, walaupun dalam keadaan hujan renyai pada awalnya.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg tiba di kawasan pentas persembahan sekitar pukul 10.30 malam dengan diiringi Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan beberapa menteri Sarawak.
Dalam ucapannya di majlis itu, Abang Johari melahirkan azam untuk melaksanakan semua polisi yang dirangka kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak pada tahun baharu ini, dalam memenuhi harapan untuk melakar laluan ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi 2030.
Acara sambutan berakhir seperti biasa dengan kiraan detik ketibaan tahun baharu, disusuli pertunjukan bunga api yang bergemerlapan menghiasi angkasa, menjadi latar indah yang menghiasi mercu tanda ikonik Bangunan Dewan Undangan Negeri di pinggir sungai itu.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Dec 31 2017

Bandaraya Kuala Lumpur diterangi dengan percikan bunga api yang berwarna-warni sempena Sambutan Tahun Baharu 2018 di Menara Kuala Lumpur malam tadi. - Foto Bernama

Peniaga warga emas rugi RM300,378 terperdaya skim pelaburan tidak wujud
Mangsa tertarik dengan pelaburan mata wang kripto di laman web Silegx dan membuat beberapa transaksi sebelum menyedari dia ditipu.
Syarat luar biasa, PN ada alasan untuk tidak setuju
Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pihaknya mempunyai alasan munasabah dan asas, untuk tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Warga emas pukul isteri, mengaku tidak bersalah
Warga emas, 76 tahun, mengaku tidak bersalah selepas dituduh memukul isterinya yang berusia 70 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Kes kewarganegaraan anak lahir di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia capai penyelesaian
Mahkamah Persekutuan mencapai persetujuan bahawa kanak-kanak ini boleh memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan representasi Najib kes dana SRC 6 Mei ini
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Mei ini bagi keputusan representasi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram

PM Anwar hadir program Ihya Ramadan di PETRA
Program bertujuan menyantuni warga PETRA dan memanfaatkan bulan Ramadan dengan amalan kerohanian.

Penolong pegawai perubatan bakal diberi kuasa keluar preskripsi ubat asas - Dr Dzulkefly
Penolong Pegawai Perubatan (PPP) akan diberikan kuasa untuk mengeluarkan preskripsi bagi ubat-ubatan asas dalam rawatan penyakit ringan.

Dua remaja maut dilanggar: Pemilik rakaman 'dashcam' belum tampil - Polis
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kerjasama mereka amat penting bagi memudahkan proses siasatan dilakukan.
Vietnam sasar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua pada 2035
Vietnam merancang untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam sistem pendidikan negara pada 2035. Inisiatif ini akan melibatkan semua peringkat pendidikan, dengan penekanan terhadap latihan guru, pembangunan infrastruktur, dan penggunaan teknologi untuk merapatkan jurang wilayah.
Korea Selatan mohon maaf tidak sengaja jatuhkan bom ketika latihan
Ketua Tentera Udara Korea Selatan, Lee Young-su memohon maaf atas insiden kemalangan melibatkan dua jet secara tidak sengaja menjatuhkan bom dia sebuah perkampungan ketika menjalani latihan tahunan Freedom Shield.

PRU15: UMNO, BN mampu tawan kembali Terengganu - Ahmad Razif
Tidak mustahil pentadbiran negeri itu boleh bertukar tangan dengan sokongan pengundi di negeri berkenaan.

Ahmad Razif letak jawatan ketua pembangkang DUN Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman melepaskan jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Idris Haron, Ahmad Razif tewas, Adnan Yaakob kekal ketua bahagian
Beberapa pertandingan yang membabitkan pemimpin utama UMNO negeri menyaksikan ada di antara mereka yang berjaya mengekalkan jawatan masing-masing.

Jangan ulangi sejarah PRU pada tahun 1999 - Ahmad Zahid
Rakyat Terengganu diingatkan agar tidak mengulangi sejarah pilihan raya umum pada tahun 1999.

Sultan Mizan perkenan bubar DUN Terengganu hari ini
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dilihat memasuki perkarangan Istana Syarqiyyah kira-kira jam 10.17 minit pagi.

MB bidas kenyataan kanak-kanak di Terengganu 'bantut'
Beliau berkata dakwaan itu merupakan tuduhan liar dan berniat memfitnah kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) yang banyak membawa kemajuan kepada negeri ini.

BN Terengganu tidak gentar usaha pembangkang rampas negeri itu
Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang yakin mampu merampas kembali Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) tidak akan menggugat kepercayaan rakyat negeri ini.

Kerosakan lif di HSNZ diatasi secara berperingkat
Masalah kerosakan lif yang sering berlaku di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dijangka dapat diatasi secara berperingkat dalam tahun ini, kata Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Bumbung jatuh - MBKT tutup laluan sementara
Penutupan laluan sepanjang 400 meter itu dibuat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi membolehkan siasatan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu.

Malaysia sertai dunia sambut 2018 dengan kemeriahan
Percikan bunga api berwarna-warni menghiasi ruang angkasa ibu negara dan beberapa lokasi di seluruh Malaysia sebaik sahaja jarum jam melepasi 12 tengah malam.