JASIN: Masuk hari kesembilan berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu di sini, mangsa banjir mulai tidak sabar mahu pulang ke kediaman masing-masing namun resah apabila memikirkan kawasan rumah mereka yang masih dilanda fenomena 'banjir termenung' atau air bertakung meskipun cuaca semakin baik.

Norliah Abdullah, 52, dari Kampung Lanchang berkata setakat ini, masih tiada arahan untuk pulang ke rumah berikutan kawasan tempat tinggalnya bersama suami dan tiga anak mereka masih digenangi air separas betis sejak 18 Disember lepas.

"Sebelum ini, jika banjir tidaklah sampai masuk ke rumah, hanya cetek dan tidak perlu berpindah ke PPS tetapi kali ini, hujan lebat menyebabkan kolam tadahan air berdekatan melimpah menyebabkan banjir. Walaupun dalam rumah telah kering namun masih terdapat air yang bertakung di kawasan sekeliling.

"Rasa tidak sabar mahu balik ke rumah, di sini (PPS) tiada perkara lain yang boleh kita lakukan, boleh dikatakan hanya makan dan tidur sepanjang hari. Selain itu, cuti persekolahan hampir tamat, risau ia akan mengganggu pembelajaran anak-anak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, Norliah tetap bersyukur kerana layanan sepanjang berada di PPS itu amat baik selain turut diberi bantuan malah makanan dan minuman mereka sentiasa mencukupi manakala keadaan keselamatan di situ sentiasa dipantau.

"Saya berharap dan berdoa keadaan di rumah semakin pulih serta ada usaha dilakukan supaya air yang bergenang di kawasan persekitaran rumah kami surut serta kering supaya kami boleh pulang semula ke rumah," katanya.

Noryanti Maidin, 35, dari Kampung Tersusun, turut 'terperangkap' lebih seminggu di PPS itu selepas air Sungai Kundang yang terletak berhampiran rumah ibunya, Lijah Mansor, 51, melimpah ke kawasan tempat mereka tinggal.

Dia berkata air yang masih bertakung di halaman rumah ibunya menyebabkan mereka lapan sekeluarga terpaksa menghuni di pusat itu sejak 18 Disember lepas.

"Setiap kali hujan, memang kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan, semua barangan berharga termasuk peralatan elektrik dan pakaian diletakkan di tempat tinggi kerana risau keadaan itu (banjir) berulang dan ternyata ia berlaku hampir setiap tahun namun kami reda disebabkan kawasan rumah yang rendah dan terletak bersebelahan sungai.

"Kami terima keadaan ini sebagai ujian serta sangat bersyukur sebab layanan pihak yang bertanggungjawab di sini amat baik dan selesa selain menerima banyak bantuan keperluan lain," katanya.

-- BERNAMA