JERTIH: Tumpang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) merupakan pilihan tunggal yang ada bagi segelintir mangsa banjir yang kediaman mereka rosak teruk, malah ada yang dihanyutkan banjir minggu lepas.

"Ke mana lagi saya hendak menumpang selepas rumah sewa saya rosak teruk dan hanyut... Nak menumpang di rumah ibu bapa, keadaan mereka pun daif," kata Norul Shahida Mohamad, 38, ketika meluahkan rasa sayu mengenang nasib yang menimpa dirinya dan keluarga.

Norul Shahida ditemui di PPS Masjid Kampung La dekat sini, yang kini menempatkan 53 mangsa banjir daripada 12 keluarga yang masih belum berpeluang pulang ke rumah masing-masing kerana kediaman mereka rosak teruk akibat banjir besar 18 Dis lepas.

"Saya berharap ada pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk bantuan tempat tinggal walaupun bersaiz kecil untuk kami sekeluarga," katanya.

Wanita itu berkata keluarganya tidak mampu membina rumah sendiri kerana dia hanya bekerja membuat kuih dibantu suaminya Sairin Tuah, 37, dan mereka mempunyai tiga anak berusia empat hingga 11 tahun.

BACA: Banjir Terengganu: Kediaman mangsa musnah, hanyut akan dibina semula - Hanafiah Mat  

Norul Shahida tidak dapat menahan sebak ketika menunjukkan gambar rumah sewanya yang rosak sepenuhnya dalam kejadian banjir di Kampung La pada 18 Dis lalu ketika ditemui, 29 Dis 2022.

Berkongsi nasib sama, Maziah Awang Long, 62, yang memberitahu dia sekeluarga tinggal di PPS berkenaan sejak 12 hari lepas setelah rumah mereka ditenggelami banjir.

"Walaupun sebahagian besar mangsa telah pulang ke rumah masing-masing tapi saya sekeluarga terpaksa terus tinggal di sini memandangkan rumah kami mengalami kerosakan.

"Bahagian dapur rumah roboh dan tandas rosak. Kalau saya balik, nak bersih diri macam mana kerana tandas rosak, rumah pun masih belum dibersihkan sepenuhnya...penuh lumpur," katanya.

Maziah berkata lagi, dia tinggal di rumah berkenaan bersama tujuh ahli keluarganya termasuk cucu perempuan berusia empat bulan.

Pemantauan menerusi udara menerusi helikopter JBPM mendapati keadaan banjir yang melanda telah pulih semasa tinjauan di Kampung La, 24 Dis 2022. --fotoBERNAMA

Menurutnya, rumah saudara-maranya yang terletak berdekatan juga menerima nasib sama menyebabkan dia sekeluarga tidak dapat menumpang berteduh.

"Setakat ini saya pun tak pasti ada pihak yang akan membantu membaiki kerosakan itu atau tak... Kami tak mampu baiki kerosakan itu dalam masa terdekat," katanya yang turut menyibukkan diri membantu sukarelawan memasak untuk penduduk di PPS bagi mengurangkan rasa sedih.

Banjir yang melanda Terengganu bermula 18 Dis lepas disifatkan sebagai banjir terburuk apabila lebih 40,000 penduduk di semua daerah di negeri itu terjejas dan terpaksa dipindahkan ke PPS.

-- BERNAMA