SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor telah memohon bantuan daripada kerajaan Persekutuan untuk menangani bencana banjir yang disifatkan terburuk dalam tempoh tujuh tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam perkongsian terbaharu di Twitternya berkata, beliau telah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memohon bantuan aset Persekutuan.

Dalam masa sama, Amirudin turut menghubungi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memohon agar aset dan anggota keselamatan dapat digerakkan untuk tujuan proses pemindahan dan menyelamatkan mangsa banjir.

“Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri YAB Dato Seri @IsmailSabri60 memohon bantuan bagi mangsa banjir di Selangor. Kerajaan Negeri memohon bantuan aset-aset Persekutuan dan penglibatan tentera bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa banjir yang terkandas ketika ini.

“Saya turut menghubungi Menteri Kanan Pertahanan YB Dato’ Seri @HishammuddinH2O agar aset dan anggota keselamatan dapat digerakkan bagi membantu proses pemindahan dan penyelamatan mangsa banjir yang terkandas di Selangor,” kata Amirudin dalam hantaran itu.



BACA: Banjir di Selangor: Taburan hujan luar biasa, jumlah mangsa dijangka cecah 5,000 - MB 

Awal hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua itu berkata, jumlah terkini pusat pemindahan sementara (PPS) dijangka meningkat kepada 50 buah malam ini.

Amirudin berkata, beliau telah mengarahkan Air Selangor untuk menyediakan tangki air bergerak untuk ditempatkan di PPS untuk kegunaan penduduk yang berada di situ.

Kesemua usaha itu, jelasnya lagi, akan diselaraskan oleh Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang yang beroperasi 24 jam sehari berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam.