BUKIT GANTANG: Sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka awal pagi ini, menjadikan jumlah mangsa banjir di Changkat Jering meningkat kepada 55 orang, berbanding 41 orang lewat malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Perak, Noor Azam Johari berkata, PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Sungai Baru dibuka pada jam 3 pagi tadi.

Menurutnya, PPS itu menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Sungai Nyior.

“Mangsa terdiri dari lima lelaki dewasa, enam perempuan dewasa dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terlebih dahulu PPS DOR Air Kuning dibuka jam 8 malam tadi bagi menempatkan 41 mangsa dari 11 buah keluarga.

Keadaan banjir di Kg Larut Ulu. - Foto APM

Mereka dipindahkan ke PPS itu selepas rumah mereka di Kampung Larut Ulu dinaiki air ekoran hujan lebat petang semalam.

Noor Azam berkata, mereka terdiri daripada 13 lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan, di samping seorang bayi lelaki.

Dalam pada itu, katanya, Exco kerajaan negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud melawat mangsa banjir di PPS DOR Air Kuning malam tadi.

Dalam lawatan itu, Ahmad Saidi turut mengedarkan bantuan makanan kepada mangsa di samping bertanya khabar.