KUALA LUMPUR: Tidak ramai yang mengetahui, ketika ramai yang mempersoalkan tentang kecekapan pihak berkuasa di negara ini menangani banjir, ramai anggota badan penguasa seperti bomba juga turut menjadi mangsa ketika bergelut menyelamatkan nyawa orang lain.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, ratusan anggotanya sendiri kehilangan kediaman akibat bencana banjir yang melanda.

“Dalam kita menghadiri dan menyelamatkan orang sejak mula Oktober yang lepas, sebenarnya ratusan anggota Bomba kehilangan rumah disebabkan oleh banjir dan juga ada yang terjejas (dari segi) peralatan-peralatan di dalam rumah. Tetapi mereka tidak mahu membuat apa-apa viral, bising dan sebagainya.

“Itu adalah sebahagian daripada etika yang diterapkan dalam diri. Ertinya mereka ini meletakkan keutamaan pertama adalah nyawa orang lain. Sehingga ada yang tak tahu dekat mana anak dan keluarga mereka dipindahkan,” jelasnya pada sidang media yang diadakan  di Shah Alam hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir Selangor: Angka korban mencecah 24 orang - MB




Ia katanya adalah harga yang perlu dibayar oleh sebahagian anggota bomba dalam keadaan ramai yang masih mempersoalkan kredibiliti dan komitmen yang telah diberikan kepada masyarakat.

Malah katanya seluruh anggota bomba yang menjalankan tugas tidak pernah sesekali meletakkan kepentingan diri di hadapan demi menyelesaikan tugas yang diamanahkan.

Namun tidak ramai yang melihat atau mengetahui pengorbanan mereka ini kerana bukanlah sifat anggota untuk mencurahkannya dalam mana-mana media sosial.