KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan supaya bertindak tegas terhadap syarikat-syarikat balak yang mengakibatkan banjir.

Ketua Pembangkang itu  berkata, ia termasuk memaksa syarikat terlibat membayar ganti rugi kepada mangsa yang mengalami kerosakan harta benda dan kerugian susulan bencana alam itu.

"Kalau tidak nampak seolah lemah dalam menghadapi golongan atasan. Golongan kaya ini tidak dibebankan walaupun mereka yang menyebabkan kerosakan terhadap rumah-rumah orang miskin.

"Saya dalam hal ini nak bercakap bagi pihak orang kampung yang miskin ini kerana dia tak berupaya nak bantah. Kalau dia bantah sikit, datang wakil rakyat atau jabatan bagi RM200, dia terpaksa diam sekejap kalau tak, tak dapat RM200 itu.

"Tetapi yang kita nak bangkitkan di sini, adalah arahan tindakan keras kerajaan memaksa syarikat-syarikat balak yang menyebabkan kerugian rakyat. (Syarikat balak) bayar ganti rugi, dan ini tak termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, atau Pahang.

"Saya nak tengok keberanian pimpinan Melayu ini, apakah berani dan sanggup mengambil tindakan tegas membela nasib-nasib orang miskin," katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkenaan bencana banjir hari ini.

Anwar Ibrahim minta semua aktiviti pembalakan dihentikan

Jelas Anwar, syarikat-syarikat balak dilaporkan mengaut keuntungan sekitar RM18 bilion setahun hasil eksport balak.

Bagaimanapun, pihak berkenaan tidak boleh menggunakan alasan 'membayar cukai' sebagai melepaskan diri daripada bertanggungjawab terhadap bencana alam.