KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan wujudnya segelintir individu atau pihak yang mengambil kesempatan daripada isu banjir untuk membuat kutipan derma bagi kegunaan diri sendiri.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, sehubungan itu, polis sentiasa memantau aktiviti kutipan derma terutama yang dilakukan melalui internet.

Jelasnya, walaupun sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima namun sebarang aktiviti yang meragukan akan disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kejadian banjir kilat melanda beberapa kawasan di seluruh negara telah mengakibatkan kerugian terhadap mangsa-mangsa terlibat dan pelbagai inisiatif kutipan derma telah dilancarkan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan individu persendirian.

"Kebiasaannya, aktiviti kutipan yang bersifat kebajikan ini akan mendapat maklum balas yang positif daripada rakyat Malaysia.

"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dalam menyalurkan derma kepada mangsa banjir agar ia sampai kepada mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

[LAPOR LANGSUNG] Banjir: Jumlah mangsa turun di empat negeri, Negeri Sembilan meningkat

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penipuan kutipan derma tampil membuat laporan.

"Laporan boleh dilakukan melalui CCID Scam Response Center melalui talian 03-26101559 / 1599 atau membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.