PUTRAJAYA: Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) akan diguna pakai dalam pembangunan tanah bagi menangani isu banjir kilat di negara ini, demikian menurut Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pemakaian PISMA itu, yang disediakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Jabatan Pengairan dan Saliran, adalah antara perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.

"PISMA ini dilihat sebagai satu daripada penyelesaian dalam menangani isu banjir kilat di negara ini," menurut KPKT dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena MPFN ke-41.

Menurut KPKT, kementerian itu akan mengeluarkan arahan pemakaian PISMA di dalam proses pembangunan tanah terutama dalam proses kelulusan kebenaran merancang dan di peringkat kajian semula rancangan tempatan.

Turut dipersetujui dalam MPFN ke-41 ialah cadangan memperkukuh industri penternakan ayam melalui penerimapakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam yang disediakan oleh KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

KPKT memaklumkan cadangan pengukuhan itu melibatkan pelaksanaan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Bil. 1/2003 untuk memudah cara proses pembangunan ladang penternakan ayam dari aspek urusan tanah dengan pihak berkuasa negeri (PBN) disyorkan untuk menyediakan panduan khas pelaksanaan pekeliling berkenaan.

Selain itu, Prosedur Pusat Setempat (OSC) 3.0 Plus juga ditambah baik dengan meminimumkan hanya lima agensi sahaja yang wajib dirujuk untuk mendapatkan kelulusan.

Menurut KPKT, MPFN ke-41 juga telah menerima cadangan keperluan penetapan 10 peratus keluasan tanah Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Penetapan 10 peratus keluasan tanah sumber makanan negara yang terdiri daripada kawasan jelapang padi dan luar jelapang, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tanaman, TKPM Penternakan dan Zon Industri Akuakultur adalah penting untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) pengeluaran agromakanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import sumber makanan.

"Mesyuarat bersetuju agar pengiraan 10 peratus itu turut mengambil kira sumbangan keluasan daripada Sabah dan Sarawak," menurut KPKT.

KPKT memaklumkan mesyuarat juga menyarankan supaya fokus diberikan kepada peningkatan produktiviti agromakanan berbanding peningkatan keluasan kawasan pertanian, terutama bagi negeri-negeri yang mempunyai kawasan pertanian yang luas.

MPFN ke-41 itu menyarankan agar PBN dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempercepat tempoh kelulusan pembangunan sebagai satu langkah memudah cara urus niaga untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam menjadikan Malaysia sebagai satu daripada negara yang berdaya saing.

KPKT melalui PLANMalaysia perlu menjadi penyelaras atau penasihat dalam memudah cara urusan permohonan cadangan pembangunan oleh pihak pelabur terutamanya pelabur luar bagi memastikan proses seperti kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan kejuruteraan dapat dipercepat.



-- BERNAMA