KUALA LUMPUR: Polis setakat ini hanya menerima laporan berhubung kehilangan lima orang dalam kejadian di Telemong, Bentong di Kuantan, dan bukannya kehilangan 16 orang sebagaimana yang ditularkan oleh media sosial malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima aduan berkenaan kehilangan mereka daripada orang awam.

"Saya mengesahkan lima orang itu dipercayai hilang, dan (polis) tidak pernah menyatakan bahawa 16 orang hanyut, itu adalah berita palsu.

"Saya juga menerima laporan berhubung satu penemuan mayat tetapi saya perlu mengesahkannya," katanya kepada Bernama.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani mengesahkan laporan mengenai kehilangan lima individu dan operasi mencari dan menyelamat akan digerakkan Isnin.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Telemong Lai Wah Foong berkata laluan untuk masuk ke tempat kejadian berkenaan sebelum ini tidak boleh dilalui susulan kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, pada Sabtu.

"Esok (Isnin), pihak kami bersama beberapa agensi penguatkuasa lain akan membersihkan laluan tanah runtuh itu secara berperingkat.

"Selain itu, air yang naik di Telemong telah surut secara perlahan-lahan dan fokus kini adalah untuk memberi bantuan kepada mangsa terlibat," katanya.

-- BERNAMA