MUALLIM: Seramai 15 orang daripada empat buah keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), di sini, susulan banjir yang melanda empat kampung pada Ahad.

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perak, kesemua mereka ditempatkan di Dewan Kampung Pauh Behrang Stesen dan SMK Khir Johari, Tanjong Malim yang dibuka kira-kira jam 11 pagi tadi.

Katanya, seramai lima orang mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Pauh Behrang Stesen, dan 10 mangsa daripada tiga keluarga di sekolah tersebut.





Kawasan yang terjejas merangkumi Kampung Sri Behrang, Kampung Lambak, Kampung Kelawar dan Kampung Ketoyong.

Ujar kenyataan itu lagi, sehingga kini keadaan cuaca masih hujan lebat di kawasan terjejas.





Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan di negeri Perak.

Ia termasuk Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.


Laporan cuaca harian di negeri ini turut mencatatkan berlaku hujan pada sebelah petang dan malam di kebanyakan daerah.