PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) diminta agar terus memantau tahap kesiapsiagaan semua agensi terlibat di semua peringkat untuk menghadapi bencana, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Merujuk kepada situasi banjir di Sabah dan Sarawak ketika ini, beliau menyatakan rasa puas hati dengan koordinasi baik oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di negeri yang dilanda banjir.

"Dengan persediaan dan koordinasi awal, kerajaan telah menyediakan peruntukan awal kepada semua negeri dan agensi tindak balas bagi tujuan pengoperasian semasa Monsun Timur Laut 2024/2025, selain penyelarasan yang baik dan teratur dapat dibuat dan disusun oleh JPBD dan JPBN.

"Ini termasuklah memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan kemudahan asas yang mencukupi untuk kegunaan mangsa banjir," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga pengerusi JPBP turut memohon supaya proses pendaftaran dan pengesahan mangsa dipermudah serta disegerakan bagi mengelakkan kelewatan pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Untuk rekod, kerajaan Persekutuan akan mengagihkan bantuan ihsan RM1,000 kepada ketua isi rumah (KIR) yang terkesan banjir dan berpindah ke PPS, mengikut syarat ditentukan NADMA.

Semakan di portal Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) https://portalbencana.nadma.gov.my/ms/ setakat 4.45 petang ini mendapati 22 daerah di Sabah dan Sarawak terjejas bah melibatkan 15,004 mangsa di 85 PPS.

Tiga daerah paling teruk terkesan di Sarawak ialah Bintulu yang merekodkan 4,811 mangsa, Serian (2,597 mangsa) dan Selangau (1,056 mangsa) dengan jumlah keseluruhan 13,302 orang.

Di Sabah, lima daerah terjejas dengan 14 PPS dibuka setakat ini melibatkan 1,702 mangsa iaitu di Pitas, Lahad Datu, Paitan, Beaufort dan Beluran.

Terdahulu, Kota Marudu, Kota Belud dan Telupid di Sabah diisytiharkan pulih daripada banjir hari ini dan semua penduduk yang berlindung di PPS di ketiga-tiga daerah itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Dalam pada itu, orang ramai turut diingatkan untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan termasuk menyediakan beg kecemasan, segera berpindah ke PPS yang disediakan apabila diarahkan, pergi ke tempat tinggi dan selamat serta jangan membiarkan kanak-kanak bermain air di kawasan banjir.

-- BERNAMA