KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di 10 negeri kini berjumlah 144,387 orang daripada 43,225 keluarga yang ditempatkan di 669 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 6 petang.


Ringkasan AI
  • Jumlah mangsa banjir di 10 negeri kini berjumlah 144,387 orang daripada 43,225 keluarga yang ditempatkan di 669 pusat pemindahan sementara (PPS).
  • Kelantan paling teruk terjejas dengan 91,420 mangsa di 262 PPS, diikuti Terengganu dengan 40,207 mangsa di 293 PPS.
  • Negeri lain yang terjejas termasuk Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Melaka, dan Johor, dengan jumlah mangsa yang berbeza-beza di setiap negeri.


Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 10 negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Melaka, dan Johor, membabitkan 38 daerah.

Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk dilanda banjir dengan 262 PPS diaktifkan untuk menempatkan 91,420 orang daripada 28,384 keluarga yang terjejas di sembilan daerah.

Terengganu pula membuka 293 PPS di lapan daerah, menempatkan 40,207 mangsa daripada 10,972 keluarga.

Di Negeri Sembilan, sembilan PPS di tiga daerah dibuka bagi memberi perlindungan kepada 1,462 mangsa daripada 390 keluarga.

Di Kedah, 55 PPS di enam daerah menempatkan 8,854 mangsa daripada 2,740 keluarga.

Selangor membuka satu PPS di satu daerah yang menempatkan lima mangsa daripada tiga keluarga.

Di Perlis, satu PPS di satu daerah menempatkan 225 mangsa daripada 70 keluarga.

Keadaan banjir di Johor pula merekodkan 749 mangsa daripada 198 keluarga yang ditempatkan di 17 PPS di dua daerah.

Di Melaka, empat PPS diaktifkan untuk menempatkan 244 mangsa daripada 58 keluarga di tiga daerah.

Pahang kini menempatkan 1,174 mangsa daripada 398 keluarga di 25 PPS di tiga daerah.

Perak pula membuka dua PPS di dua daerah membabitkan 47 mangsa daripada 12 keluarga.