KUALA KANGSAR: Seramai sembilan orang mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan berlakunya banjir akibat hujan berterusan di Kampung Batu 17, Padang Rengas, di sini, malam tadi.

Kesemua mereka berlindung di PPS Kolej Risda Kuala Kangsar.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, banjir berlaku di beberapa kawasan iaitu Kampung Buaia, dan Kampung Batu 17.

Katanya, sembilan mangsa itu merangkumi tiga lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak perempuan.

Selain itu, paras air di kawasan sekitar mencatatkan kedalaman sehingga 1.5 meter.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya terus melakukan pemantauan banjir di kawasan Kg Buaia air dan air dilihat semakin surut.

Tambahnya, PPS Kolej Risda Kuala Kangsar dibuka pada jam 12.30 tengah malam, dan sehingga kini hujan masih berterusan di kawasan terjejas banjir.