Ketika orang ramai memberi tumpuan kepada keadaan banjir di negeri-negeri sebelah Pantai Timur, penduduk di Kajang hari ini semakin resah kerana bandar mereka sudah mula dilanda air bah.

Bandar tersebut pada tahun ini sudah dua kali dilanda banjir dan kali akhir pada November lalu setelah menerima hujan lebat selama beberapa jam.

Walaupun hujan lebat berlangsung selama beberapa jam sahajapun mampu membawa masalah banjir kilat ke bandar tersebut dan sekitarnya.

Lazimnya, hujan lebat akan mengakibatkan paras air di Sungai Jelok melimpah dan alirannya tidak mampu dikawal akibat jaringan sistem longkang yang tidak mampu menampung paras air ataupun tersumbat.

Pada masa ini, banyak kenderaan dilihat terperangkap dalam banjir kerana pemiliknya tidak sempat mengalihkannya sebelum kawasan terjejas dinaiki air.

Kebanyakan pengguna media sosial seperti Twitter hari ini sudah menjadi penyebar maklumat awal dengan memuat naik beberapa gambar sekitar bandar Kajang.






Kira-kira jam 5 petang tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail telah menaikkan status di laman rasmi Facebooknya berserta gambar yang menyatakan bahawa keadaan banjir telah surut sementara kerja-kerja pembersihan giat dijalankan.