JELI: "Apabila saya sakit, ada sahaja petugas yang datang untuk bantu dan beri ubat supaya cepat sembuh," itu luahan warga emas Omar Salleh, 96, yang melahirkan rasa syukur diberi layanan baik oleh petugas di pusat pemindahan sementara (PPS).

Dia dan isteri Minah Omar, 85, terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1 di sini, menggunakan bot polis selepas rumah mereka dinaiki air sehingga paras lutut, Jumaat lepas.

"Sepanjang saya berada di PPS, ramai yang datang bantu, baik petugas mahupun mangsa banjir. Ada yang tolong ambil makanan, ada yang tolong pimpin pergi ke tandas dan sebagainya.

"Saya dah anggap mereka seperti keluarga sendiri kerana semua ringan tulang untuk bantu kami, malah melayani kami dengan baik sekali," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Omar berkata walaupun dia mempunyai masalah pendengaran, sikap hormat kepada orang tua dan bertolak ansur oleh mangsa banjir di sini juga amat dihargai.

Bagi Abdullah Mohamad, 81, pula kesabaran petugas di PPS melayan kerenah warga emas perlu dipuji kerana ia bukanlah satu tugas mudah untuk memuaskan hati golongan itu yang kadangkala mempunyai ragam tersendiri.

Sementara itu, Zainab Daud, 70, yang kudung sebelah kaki berasa syukur kerana anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menyelamatkannya menggunakan bot selepas rumahnya dinaiki air.

"Anggota APM terpaksa dukung dan bawa saya guna bot ke PPS SK Tumpat sebelum disambut oleh petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Layanan mereka kepada kami sama rata tanpa kira pangkat dan darjat," katanya.

-- BERNAMA