HULU LANGAT: Isu siapa yang betul atau salah mengenai pengurusan bencana Selangor, tidak seharusnya berlarutan, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Ahli Parlimen Mersing itu berkata, beliau dimaklumkan bahawa Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah pun memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku.

Bagaimanapun, jelas beliau, berdasarkan perundangan, ada pembahagian bidang kuasa yang jelas antara Persekutuan dan negeri dan mana-mana pihak sepatutnya tidak boleh melepaskan tangan dengan begitu sahaja.

“Rakyat tak suka tengok benda macam ini … MB sudah buat kesilapan dan sudah minta maaf. Tak perlu berlarutan, sebab banyak orang sangka bencana ini semua sekali (tanggungjawab) Persekutuan, mana boleh… kena kongsi, ini tanggungjawab bersama. Tak boleh nak lepas tangan,” tegas beliau lagi.

Abd Latiff berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu ‘pertindihan kuasa’ antara Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Amiruddin berhubung pengurusan bencana Selangor.

Terdahulu, Abd Latiff meninjau keadaan dan urus tadbir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Serai yang pada waktu ini menempatkan 218 mangsa daripada 53 keluarga.

Pada Rabu, Amirudin mendakwa beliau tidak boleh memberi arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk operasi menangani bencana banjir atas alasan beliau bukan Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri.

Susulan itu, Amirudin berkata, beliau mendapat panggilan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempengerusikan MKN Negeri Selangor ekoran bencana banjir di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Noh mendakwa Amirudin terkhilaf antara Arahan Keselamatan MKN No, 1 dan 20.

LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI 




Menteri Besar itu, kata Noh, barangkali, tidak memahami terdapat dua arahan berbeza di bawah MKN iaitu pertama pengurusan keselamatan negara.

"Yang kedua, ialah Majlis Keselamatan Negara, Semakan Semula Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana negara, ini dua yang berbeza.

"Ini menunjukkan bila ada dua arahan maknanya ada dua jawatankuasa. Saya dilantik di bawah arahan nombor 1 iaitu isu keselamatan negara, kata Noh dalam sidang media pada Rabu. 

"Yang sepatutnya Menteri Besar tengok ialah arahan nombor 20 iaitu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya lagi.

Dalam pada itu, Abd Latiff berkata, semua pihak harus memahami perundangan di sebalik Arahan-arahan MKN.

"Dari sudut perundangan apa yang diperkatakan Tan Sri Noh Omar adalah benar kerana bila dia menjawat Jawatan Pengerusi MKN untuk hal keselamatan itu adalah arahan nombor satu  ... Perdana Menteri yang boleh keluarkan arahan begitu," katanya lagi.