SEPANG: Banjir awal pagi yang melanda taman perumahan Taman Dataran Abadi di Kampung Labu Lanjut di sini hari ini adalah lebih teruk daripada yang pernah dialami pada 2019 susulan paras air naik secara mendadak ketika rata-rata penduduk sedang nyenyak tidur.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati hampir keseluruhan kawasan taman itu digenangi air dan terdapat beberapa buah kenderaan gagal dibawa keluar ekoran air naik secara deras dan mendadak.

Mohd Zunasri Md Hanif, 45, berkata situasi banjir kali ini merupakan pengalaman seumur hidup yang tidak akan dilupakan memandangkan air naik mendadak sehingga ke paras pinggang di dalam rumahnya.

Katanya ketika kejadian beliau bersama isteri Ella Abdul Rashid, 45, dan anak lelakinya berusia 15 tahun sedang nyenyak tidur, tiba-tiba beliau dikejutkan oleh jiran-jiran yang memberitahu kawasan perumahan dilanda banjir kira-kira pukul 2 pagi.

"Masa itu kami sekeluarga sedang tidur. Saya tersedar bila ada jiran membunyikan loceng rumah dan meminta semua penduduk di taman keluar selamatkan diri. Dalam keadaan kelam kabut, saya kejutkan isteri dan anak, dan kami terus keluar dari kawasan rumah dengan kereta pergi ke kawasan lebih tinggi," katanya kepada Bernama.

Mohd Zunasri berkata beliau sama sekali tidak menjangkakan akan berhadapan dengan detik cemas banjir sekali lagi pada tahun ini selepas pernah mengalaminya pada 2019.

"Kali terakhir kawasan taman dilanda banjir adalah pada tahun 2019 namun banjir kali ini adalah paling teruk. Kali ini air deras dan memang saya terkejut apabila air dalam rumah di paras pinggang, kami sekeluarga hanya fikir untuk selamatkan diri sahaja... barang-barang lain tinggal dulu," katanya.

"Alhamdulillah, semua mangsa banjir selamat. Pihak bomba juga ada untuk membantu mangsa-mangsa keluar dari kawasan perumahan," kata isterinya Ella.

Mereka sekeluarga kini ditempatkan di Surau Abadi yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir. Mangsa banjir di PPS Surau Abadi perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah mencegah penularan wabak tersebut.

Sementara itu Muhammad Nazri Mahad, 24, berkata beliau dan ibunya sempat menyelamatkan beberapa peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti ais setelah melihat jalan raya di hadapan rumah dinaiki air bermula pukul 1.30 pagi.

"Saya ambil keputusan alihkan dahulu barang-barang elektrik... ternyata ia keputusan yang baik kerana tidak lama selepas itu air naik secara tiba-tiba dan ketika itu hujan lebat," katanya sempat menempatkan peralatan tersebut di kawasan yang tidak dinaiki air.

Kira-kira 200 penduduk di Taman Dataran Abadi dipindahkan ke PPS Surau Abadi selepas rumah mereka dilanda banjir dalam kejadian kira-kira 2 pagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kira-kira 100 buah rumah di kawasan tersebut dinaiki air setinggi 1.2 meter (empat kaki) dipercayai akibat limpahan air Sungai Labu ekoran kejadian ban pecah.

-- BERNAMA