KUALA LUMPUR: Banyak kawasan di Hulu Langat dan Sri Muda, Shah Alam yang terjejas teruk akibat banjir sejak beberapa hari lalu didapati belum pulih, dengan sebahagiannya masih ditenggelami air.

Pemantauan Astro AWANI menaiki helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati paras air di kawasan terbabit dianggarkan antara satu hingga dua meter.

Tinjauan di Hulu Langat mendapati rumah-rumah terutamanya di kawasan kampung musnah dibawa arus deras banjir dua hari lalu, manakala ratusan kenderaan tersadai di tepi jalan akibat rosak.

Di kawasan taman perumahan pula, terutama di kawasan lebih tinggi, kelihatan mangsa-mangsa banjir mula pulang membersihkan kediaman masing-masing.

Terdapat juga beberapa kawasan mengalami tanah runtuh di kawasan terbabit.

BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

emerhatian dari udara di kawasan Sri Muda mendapati ada beberapa kawasan masih digenangi air banjir.

Sementara itu, tinjauan dari udara di Sri Muda mendapati beberapa kawasan termasuk pangsapuri, taman perumahan dan kawasan perindustrian masih digenangi air.

Bagaimanapun, ada sesetengah kawasan kelihatan semakin pulih dengan air mula surut.

Pemerhatian di sungai berhampiran juga mendapati air sudah tidak melimpah ekoran cuaca yang semakin baik sejak semalam.