20 sekolah di tiga daerah di Pahang diberikan cuti esok dan Jumaat berikutan banjir yang melanda negeri ini, kata Pengarah Pendidikan negeri Datuk Rosdi Ismail.

Beliau berkata 13 sekolah berkenaan terletak di Pekan, enam di Maran dan sebuah di Temerloh, membabitkan lebih 3,500 pelajar dan guru.

Katanya cuti berkenaan terpaksa diberikan berikutan ada di antara sekolah berkenaan serta laluannya dinaiki air selain bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan sekolah setelah air banjir surut sepenuhnya.

"Di Pekan, 13 sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh Hinai, SK Padang Rumbia, SK Kampung Aceh, SK Pulau Rusa, SK Tanjung Medang, SK Belimbing, SK Serambi, SK Temai, SK Mambang, SK Pelak, SK Pulau Manis dan SK Kincir yang melibatkan 2,128 pelajar dan 268 guru.

"Di Maran pula, enam buah sekolah yang terlibat ialah SK Paya Pasir, SK Serengkam, SK Pesagi, SK Kuala Wau, SK Kertau dan SK Chenor yang melibatkan 663 pelajar dan 96 guru," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Di Temerloh, hanya Sekolah Rendah Agama At-Taqwa sahaja diberikan cuti dan ia mempunyai 336 pelajar dan 24 guru, katanya.

Sementara itu, Rosdi berkata terdapat 19 sekolah di empat daerah turut dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu satu di Bera, Temerloh (dua), Pekan (lima) dan 11 sekolah di Maran.

Bagaimanapun, sekolah terbabit tidak terlibat dengan tempoh cuti yang diberikan, katanya. -- Bernama