KUALA LUMPUR: Sebuah blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Abaka di Tawau, musnah dalam kejadian kebakaran tengah malam, pada Sabtu.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.06 tengah malam, sebelum sepasukan 28 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketika bomba tiba, didapati kebakaran melibatkan satu blok sekolah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya

"Kejadian itu memusnahkan bangunan yang menempatkan bilik darjah murid tahap dua.

"Operasi memadamkan kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera sebelum api berjaya dikawal 50 minit kemudian," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Jemishin berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.23 pagi dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.