KUALA LUMPUR: Banci Pertanian 2024 merupakan usaha penting yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk memahami keadaan sebenar industri pertanian secara keseluruhan di Malaysia.


Ringkasan AI
  • Tujuan Banci Pertanian: Banci ini dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk memahami keadaan industri pertanian secara keseluruhan di negara. Matlamat utamanya adalah menilai kedudukan sektor pertanian dan bagaimana ia dapat menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030.
  • Data Relevan: Dengan mengumpulkan data, banci ini dijangka memberikan maklumat relevan yang dapat membawa perubahan besar dalam sektor pertanian. Ia melibatkan pelbagai komponen seperti tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur, perhutanan, dan pembalakan.
  • Perbezaan dengan Banci Sebelumnya: Banci Pertanian 2024 berbeza daripada sebelumnya kerana ia tidak hanya melibatkan pengiraan penduduk yang terlibat dalam sektor pertanian, tetapi juga syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti pertanian.


Menurut Pengarah Kanan, Bahagian Perangkaan Penduduk dan Demografi Jabatan Perangkaan, (DOSM), Wan Mohd Sharulnizam Wan Mohd Najuri, dengan perubahan senario global dan isu harga makanan yang sering menjadi tumpuan rakyat, banci ini dijangka mampu memberikan data relevan untuk membawa perubahan besar dalam sektor pertanian negara.

Ini adalah banci keempat seumpamanya yang dilaksanakan selepas hampir dua dekad sejak banci terakhir dijalankan pada tahun 2005.

"Matlamat utama banci ini adalah untuk menilai kedudukan sektor pertanian dan bagaimana ia dapat menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030.

"Dengan mengenal pasti posisi sebenar sektor ini, kerajaan dan pihak berkepentingan dapat mengenal pasti jurang dan kekurangan yang perlu ditangani,

"Ini termasuk isu-isu seperti kekurangan bekalan makanan tertentu dan kos pengeluaran yang tinggi, termasuk memberi perhatian kepada perkara yang boleh menjejaskan keupayaan negara untuk menampung permintaan domestik dan industri pelancongan," kata Wan Mohd Sharulnizam.

Tambah beliau, ini adalah satu tugas yang kompleks kerana ia melibatkan pelbagai komponen dalam sektor pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur, perhutanan dan pembalakan.

Katanya, data yang dikumpulkan ini juga dapat membantu kerajaan merangka dasar dan pelan tindakan yang lebih tepat, serta memastikan kelangsungan sektor ini.

"Banci kali ini bukan sahaja melibatkan pengiraan penduduk yang terlibat dalam sektor pertanian, tetapi juga syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti pertanian.

"Ini menjadikan banci ini berbeza daripada banci sebelumnya, di mana Banci Penduduk hanya melibatkan pengiraan penduduk, dan Banci Ekonomi pula fokus kepada syarikat sahaja dan telah menggabungkan kedua-dua elemen dalam banci pertanian kali ini," katanya lagi.

Pelaksanaan banci berkenaan adalah sejajar dengan resolusi Food and Agriculture Organisation (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengesyorkan semua negara melaksanakan Banci Pertanian dengan kekerapan sekali dalam tempoh 10 tahun.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Rabu.

Banci Pertanian 2024 yang sedang dilaksanakan bermula 7 Julai sehingga 10 Oktober 2024 dengan kerjasama beberapa kementerian dan agensi di bawahnya, iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Banci Pertanian 2024: Apa yang perlu anda tahu?