Bajet bayangan 2014 Pakatan Rakyat meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 5.2 peratus dan kadar defisit GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebanyak 3.2 peratus untuk tahun 2014.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ramalan ini dibuat berdasarkan ekonomi global pada tahun 2014 yang dijangka akan meningkat.

“Sejak Pakatan Rakyat menyediakan Belanjawan alternatif, anggaran defisit kami adalah selalunya lebih rendah daripada Barisan Nasional.

“Defisit sebenar kerajaan BN adalah dianggarkan lebih tinggi dari 3.2 peratus (dianggarkan sebanyak 3.8 peratus hingga 4 peratus) disebabkan kegagalan mereka menangani rasuah dan ketirisan,” katanya ketika membentangkan rumusan bajet alternatif Pakatan Rakyat yang di Parlimen hari ini.

Anwar berkata bajet alternatif keseluruhan hanya akan dibentang sehari sebelum bajet Kerajaan Persekutuan yang akan dibentang pada Jumaat, kerana bimbang Kerajaan Persekutuan akan ‘mencuri’ idea-idea dari bajet tersebut.

“Mereka (Kerajaan Persekutuan) ‘’ambil’ idea dari bajet kami sebelum ini. Tetapi, jika mereka ‘ambil’ idea kami dan mengucapkan terima kasih kepada kami tidak apa. Kami tidak mahu perkara ini diulangi,” katanya sambil menambah bahawa bajet itu dimuktamadkan petang semalam.

Anwar berkata salah satu fokus bajet ini adalah mengurangkan pembaziran dan menjimatkan perbelanjaan dan oleh kerana itu, kenaikan elaun menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan akan ditangguhkan.

“Ini akan mengurangkan perbelanjaan operasi sebanyak 10 peratus,” katanya.

Anwar berkata di bawah bajet 2014, Program Latihan Khidmat Negara akan ditangguhkan kerana ia gagal mencapai objektif memupuk kesatuan kaum dan jatidiri di kalangan pelatih-pelatih.

“Program ini juga telah menyebabkan sebanyak 22 kematian dan sebilangan kes pelatih hamil yang bersalin sewaktu di dalam program.

“Program ini patut ditangguhkan sehingga satu kajian menyeluruh dibuat oleh Parliamentary Select Committee (PSC),” katanya.

Selain itu, Pakatan Rakyat bercadang untuk menambah 200,000 kerja baharu dalam tempoh tiga tahun, khususnya untuk mereka yang berumur 15 ke 24 tahun.

Bajet itu turut mencadangkan penangguhan implementasi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga pendapatan minima isirumah ditingkatkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata di bawah bajet alternatif ini, satu skim insurans 24-jam PERKESO akan diperkenalkan.

“Pada waktu ini, skim insuran PERKESO hanya meliputi kemalangan yang berlaku apabila pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja dan sewaktu bekerja.

“Skim insurans 24-jam ini, membolehkan Kerajaan Persekutuan, majikan, dan pekerja akan masing-masing menyumbang tambahan RM1 sebulan,” katanya.

Turut diketengahkan di dalam bajet tersebut adalah cadangan untuk mewujudkan Skim Insuran Luar Bandar atau Skim Insuran Petani, Nelayan dan Penternak (SIPNP) yang lebih komprehensif.

“Pakatan Rakyat mencadangkan SIPNP ini diwujudkan berdasarkan ‘pendekatan kawasan’ bagi kerugian yang disebabkan oleh perubahan musim serta ‘pendekatan individu’ bagi kerugian yang disebabkan oleh bencana alam dan serangan wabak penyakit.”


Bajet Bayuangan Pakatan Rakyat