Ringkasan AI
- Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM1.06 juta milik kerajaan Perlis dan lima pertuduhan utama menggunakan dokumen palsu untuk tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut.
- Azlan juga berhadapan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel.
- Mahkamah menetapkan 3 Februari 2025 untuk sambung perbicaraan dan 6 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi pihak peguam memaklumkan sama ada ingin memanggil semula saksi untuk disoal balas atau sebaliknya.
Pertuduhan itu dibacakan ke atas Azlan, 65, selepas Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat memaklumkan kepada Hakim Azura Alwi bahawa pihaknya telah mengemukakan lima pertuduhan pilihan tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini, antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat serta dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu, turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas lima pertuduhan utama iaitu sebagai ejen kerajaan negeri Perlis iaitu Menteri Besar Perlis didakwa menggunakan beberapa dokumen mengandungi butiran palsu bagi membuat tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut ke London, United Kingdom sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut tersebut.
Dokumen itu antaranya invois dan sebut harga tiket penerbangan pergi balik dan hotel penginapan yang dikeluarkan Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel, selain Pesanan Kerajaan Negeri Perlis yang didakwa digunakan bagi membuat tuntutan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan di Kangar, antara Disember 2013 hingga Disember 2017, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Noralis berkata lapan saksi pendakwaan memberi keterangan di mahkamah dan berdasarkan Seksyen 162 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) pihak pembelaan boleh memanggil semula mana-mana saksi berkenaan untuk disoal balas.
Peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan berkata pihaknya mahu meneliti kesemua pertuduhan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memanggil semula saksi.
Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Pelanggan CIMB Bank Cawangan KLCC Mohd Nazrie Mohmad Kahar, 50, memberitahu mahkamah bahawa Aidil Travel mengeluarkan sekeping cek berjumlah RM222,811.95 atas nama penerima Azlan Man, tujuh tahun lepas.
"Cek ini adalah transaksi pengeluaran bagi 3 April 2017 dengan butiran pada penyata akaun CIMB Aidil Travel tercatat HOUSE CHQ DR, yang transaksi itu bermaksud pengeluaran secara cek ke dalam akaun CIMB Bank," kata saksi pendakwaan kesembilan itu ketika membacakan penyataan saksinya hari ini.
Mohd Nazrie berkata syarikat pelancongan itu mengeluarkan lima keping cek secara tunai berjumlah RM225,772.40 di CIMB bank cawangan Kampung Baru pada 28 Dis 2017.
Mahkamah menetapkan 3 Feb 2025 untuk sambung perbicaraan dan 6 Dis ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi pihak peguam memaklumkan sama ada ingin memanggil semula saksi untuk disoal balas atau sebaliknya.
Azlan turut berhadapan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel serta Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel.
Kesemua wang itu diterima tertuduh melalui tiga keping cek Maybank dan sekeping cek CIMB yang dibayar ke dalam akaun Maybank dan CIMB milik tertuduh serta secara tunai daripada Abdul Rahim.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini, antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA